Artikel

Keadilan teras keputusan berpoligami

- Diterbit 3 Februari 2023 3:12 AM MYT

DR MOHD ANUAR RAMLI

POLIGAMI merupakan salah satu bentuk perkahwinan yang telah diamalkan sejak dari zaman sebelum kedatangan Islam. Umpamanya, kisah yang masyhur adalah berdasarkan kisah Nabi Ibrahim AS, yang telah mengahwini Sarah dan kemudiannya berkahwin dengan pembantu Sarah, iaitu Hajar. Amalan ini terus diterima dalam syariat Islam yang diturunkan kepada umat Nabi Muhammad SAW, namun ia telah dibataskan hanya kepada empat orang sahaja.

Amalan poligami sering kali menjadi polemik dalam masyarakat Islam. Biasanya polemik akan timbul apabila ada pihak yang terkenal berkahwin dengan isteri kedua dan berikutnya. Sering kali pelaku poligami dianggap sebagai perampas dan perosak kebahagiaan isteri pertama. Hal ini berbangkit ekoran persepsi negatif masyarakat terhadap poligami. Ia berikutan pengalaman tragik dan traumatik pihak-pihak yang telah melalui fasa poligami dalam rumah tangga, lantas turut menimbulkan rasa empati terhadap pihak yang dimadukan.

Sedangkan keharusan amalan poligami ini disebut dengan jelas dalam Al-Quran, walaupun AlQuran menegaskan bahawa amalan monogami lebih baik sekiranya tidak mampu berlaku adil. Di samping itu, amalan ini juga termasuk dalam sunah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Baginda mengamalkan poligami setelah kewafatan Sayyidatina Khadijah dengan sejumlah orang isteri.

Namun begitu, amalan poligami Baginda menjadi salah satu poin serangan terhadap Baginda SAW. Ada pihak yang mendakwa baginda hanya menurut hawa nafsu, melakukan pedofilia dan Baginda tidak berlaku adil dalam perkahwinan bersama para isteri. Tohmahan jahat ini tidak lain adalah bertujuan untuk merendahkan kredibiliti Nabi SAW dan bertentangan dengan konsep ‘ismah (maksum) baginda.

Dalam tohmahan Nabi tidak berlaku adil, mereka cuba mengaitkan dengan ayat Al-Quran. Dalam surah al-Nisa’, ayat 129, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu, walaupun kamu bersungguh-sungguh berbuat demikian, kerana itu janganlah kamu terlalu cenderung (berat sebelah kepada yang kamu cintai), sehingga kamu biarkan yang lain terkontang kanting. Dan jika kamu memperbaiki (keadaan pincang itu) dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Ayat Al-Quran di atas menjelaskan tentang keadilan mutlak yang sempurna di antara isteri-isteri, adalah sukar untuk dicapai persamaan di antara mereka. Ini kerana hinggakan kecenderungan di dalam hati serta keinginan syahwat dan seks berbeza antara suami dan para isteri.

Menurut ‘Abd al-Wahhab Khallaf dalam kitab Ahkam Ahwal alSyaksiyyah fi al-Syari‘ah al-Islamiyyah dan Yusuf al-Qaradawi dalam Kitab Markaz al-Mar’ah fi al-Hayat al-Islamiyyah, persoalan hati atau perasaan dalaman yang tidak mampu berlaku adil ini adalah dimaafkan oleh Allah SWT, kerana Allah tidak mengambil kira ketidakmampuan manusia dan ketidakdayaan manusia padanya.

Masalah hati yang bersifat batin adalah di luar kemampuan manusia kerana ia tidak dapat dilihat oleh mata zahir, berbanding masalah nafkah dan penggiliran bermalam yang dapat dinilai secara jelas. Jadi sekiranya seorang suami lebih menyayangi salah seorang isterinya daripada isteri-isteri yang lain, ia adalah suatu yang biasa dan dapat diterima berbanding ketidakadilan suami dalam isu nafkah, layanan dan penggiliran, ia adalah suatu yang jelas zalim.

Tegasnya, Rasulullah SAW telah bersikap adil di antara isteri-isterinya, sama ada dalam urusan nafkah ataupun dalam pembahagian giliran menginap pada waktu malam. Aisyah menyatakan: Rasulullah tidak melebihkan sebahagian kami di atas sebahagian yang lain dalam hal penggiliran bermalam di antara kami (isteri-isteri baginda), dan baginda selalu mengelilingi kami semuanya (satu persatu) kecuali sangat jarang sekali beliau tidak melakukan demikian. Maka baginda pun mendekati (mencium) setiap isteri tanpa menjimaknya hingga sampai pada isteri yang merupakan giliran bermalamnya, lalu baginda menginap di tempat isteri tersebut.” (Hadis Riwayat Abu Dawud, no hadis: 2135).

Dalam hadis yang lain, Aisyah berkata: Rasulullah SAW telah membahagikan masa dan memberikan layanan secara adil terhadap para isteri baginda. Baginda akan berdoa: “Ya Allah, inilah yang aku lakukan mengikut kemampuan aku, janganlah Engkau mempertanggungjawabkan kepada aku tentang sesuatu yang berada dalam milikan Engkau (yakni hati Rasulullah SAW), dan tidak berada dalam pemilikan aku.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi, no. hadis: 1140).

Berdasarkan hadis-hadis di atas, tohmahan yang dibuat oleh musuh Islam adalah tersasar kerana Baginda menunjukkan contoh yang baik dan berlaku adil terhadap para isteri dari aspek layanan, nafkah serta penggiliran bermalam.

Hakikatnya rasa cinta dan sayang terhadap seseorang pasti akan ada yang lebih dan kurang. Kelebihan dan kekurangan ini hadir dari hati manusia berdasarkan kecenderungan tertentu di samping faktor penarik dan penolak yang dimiliki pasangan. Tetapi ia bukanlah menjadi sebab yang mendorong kepada perlakuan tidak adil, kezaliman, pengabaian dan layanan berat sebelah di antara para isteri.

Dalam konteks kehidupan poligami, keadilan bukanlah merujuk kepada persamaan hak di antara para isteri tetapi suami tidak boleh bersikap zalim, bahkan beliau perlu meletakkan sesuatu yang sesuai dengan tempatnya. Umpamanya, dari segi nafkah zahir, isteri yang mempunyai anak yang ramai pasti mendapat perbelanjaan yang lebih berbanding isteri yang mempunyai anak yang sedikit atau tiada anak. Manakala dari segi tempoh penggiliran atau bermalam, suami boleh berbincang dengan para isteri untuk menentukan masa dan hari penggiliran yang dipersetujui bersama.

Tegasnya, kontrak perkahwinan bukan bererti pemindahan pemilikan fizikal atau jasad seseorang. Suami dan isteri masih mempunyai hak pemilikan terhadap jasad masingmasing dan mereka memiliki hak istimta’ bersama sahaja. Ia bukanlah sebuah dominasi dan pemilikan yang bersifat mutlak. Justeru, perkongsian alam rumah tangga ini perlu dilakukan secara adil tanpa mengenepikan pihak yang berhak agar keadilan dapat ditegakkan di samping ekosistem rumah tangga berada dalam keadaan sakinah, mawaddah dan rahmah.

PENULIS merupakan Professor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan boleh dihubungi di [email protected].

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas