Agama

MAIWP, Naurah Care raikan 100 pasangan pengantin

||||PASANGAN pengantin Ahmad Danish Faqih Abdullah dan isterinya yang merupakan seorang muallaf
- Diterbit 3 Februari 2023 11:52 PM MYT

MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Naurah Care telah mengadakan Majlis Walimatul Urus Perdana di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 29 Januari baru-baru ini bersempena dengan menganjuran Karnival MAIWP 2023.

Majlis Walimatul Urus Perdana ini meraikan seramai 100 pasangan pengantin yang terdiri daripada asnaf fakir, miskin dan mualaf dalam majlis gilang gemilang yang bertemakan ’Nostalgia Adat Istiadat Kegemilangan Melayu Islam’.

100 pasangan pengantin ini menerima sepersalinan pakaian pengantin berserta perhiasan dan diarak menaiki bas Hop on Hop Off KL mengelilingi Jalan Raja Laut sehingga ke tapak karnival di Dataran Merdeka.

Apa yang istimewa, mereka juga disandingkan atas pelamin yang disediakan dan disaksikan oleh ahli keluarga dan orang ramai yang menghadiri karnival tersebut.

Selain itu, mereka juga menerima wang tunai RM2,000 setiap pasangan pengantin. Dalam majlis tersebut, dua pasangan pengantin dinikahkan oleh Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib bin Ismail.

PASANGAN pengantin Ahmad Danish Faqih Abdullah dan isterinya yang merupakan seorang muallaf, Rosaslinah Dator, rasa bertuah diraikan MAIWP dan Naurah Care.

Pasangan pengantin Ahmad Danish Faqih Abdullah,22, dan isterinya yang merupakan seorang muallaf, Rosaslinah Dator,25, akui rasa bertuah dipilih menyertai program anjuran MAIWP dan Naurah Care ini.

MAIWP, Naurah Care raikan 100 pasangan pengantin di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Rosaslinah memeluk agama Islam pada 29 Julai tahun lalu.

”Alhamdulillah, saya bersyukur kerana terpilih antara 100 pasangan pengantin yang diraikan oleh MAIWP. Asalnya saya dan isteri nak mohon borang nikah saja, tapi kami ditawarkan untuk menyertai program ini.

”Kami terus bersetuju kerana banyak kelebihan yang diperolehi apabila sertai program ini,” ujar Ahmad Danish.

Danish juga memberitahu isterinya itu sentiasa membuatkan dirinya tenang.

”Kami mula kenal sebab satu tempat kerja di sebuah pasar raya di Gombak, Selangor.

”Saya pilih isteri sebagai pasangan kerana bila tengok dia saya rasa tenang. Selain itu, dia juga lain daripada wanita lain yang pernah saya jumpa,” tambahnya lagi.

Turut hadir dalam Majlis Walimatul Urus Perdana ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar, Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Hajah Saraya Arbi dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Haji Yahya,

Dalam perkembangan lain, skim bantuan perkahwinan merupakan salah satu skim bantuan zakat daripada 30 skim bantuan yang ditawarkan oleh MAIWP. Bantuan ini telah diperkenalkan sejak tahun 2006 yang bertujuan meringankan beban bakal pengantin dalam mengadakan majlis walimatul urus.

Bantuan yang disalurkan berjumlah antara RM3,000 sehingga RM5,000. Pada tahun 2022, MAIWP telah membantu sebanyak 412 penerima dengan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.08 juta.

MAIWP sehingga Disember 2022 telah mengagihkan sebanyak RM855.51 juta dana zakat kepada asnaf yang memerlukan. Daripada jumlah tersebut sebanyak RM533.61 juta dibelanjakan melalui agihan zakat secara langsung menerusi skim bantuan-bantuan zakat dan zakat secara tidak langsung manakala RM30.86 juta diagihkan menerusi institusi pendidikan dibawah MAIWP. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas