Berita

Hilang Pekerjaan, HANIRUL Jual Pelitup Muka Demi Kelangsungan Hidup

- Diterbit 26 November 2020 9:00 AM MYT

DISEBABKAN pandemik COVID-19, ramai yang kehilangan pekerjaan. Namun demi kelangsungan hidup, sesetengah mereka berniaga kecil-kecilan seperti membuka gerai makanan, menjual keperluan harian dan sebagainya. 

Ini kerana perniagaan seperti ini antara cara atau kaedah segera untuk memperolehi pendapatan.

Begitulah nasib seorang bekas pemandu di sebuah syarikat pelancongan, Hanirul Idzwan Kamaruzzaman,34, yang tidak patah semangat untuk berniaga di tepi jalan. 

Hanirul yang menjual pelitup muka atau face mask ini menganggap dugaan kehilangan pekerjaan lalu tidak boleh mempengaruhi masa depan.

“Saya dan teman sekerja lain diberi Cuti tanpa gaji dan syarikat itu belum tentu dapat diteruskan.

“Kehidupan perlu diteruskan. Jika sebelum ini saya mempunyai pendapatan yang tetap dan pelbagai elaun, kini ia hanyalah kenangan apabila COVID-19 seolah-olah ‘membunuh’ industri pelancongan.

“Kini saya menjual pelitup muka di tepi jalan. Gerai saya adalah kereta saya sendiri. 

“Memang pendapatan tak menentu, tapi saya bersyukur masih diberikan kudrat untuk meneruskan kelangsungan hidup,” kata Hanirul yang pernah dihalau apabila berniaga di tepi jalan di luar Kuala Lumpur.

Kini Hanirul meneruskan perniagaan pelitup muka di Bandar Permaisuri (berhadapan Burger King), Kuala Lumpur apabila pihak berkuasa memberi kelonggaran kepada rakyat yang terjejas kerana COVID-19.

“Terima kasih kepada pihak berkuasa kerana memahami keaadaan keadaan kami peniaga kecil yang sangat terkesan dengan wabak bahaya ini.

“Kami terpaksa berniaga di tepi jalan demi meneruskan kehidupan. Dalam masa yang sama, sudah tentu kami tidak lupa untuk memohon lesen perniagaan selepas ini,” ujarnya lagi.

Sesiapa yang mahu membeli pelitup muka boleh ke Bandar Permaisuri atau layari Facebook (Hanirul Idzwan).

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas