Berita

Lima warga Myanmar mengaku salah naiki satu kereta pergi beraya

- Diterbit 26 November 2020 8:20 AM MYT

LIMA lelaki warga Myanmar mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Selayang di sini, hari ini atas pertuduhan menaiki satu kenderaan dan tidak mengemukakan surat kebenaran rentas daerah untuk pergi beraya sehari selepas Deepavali, semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

San Oo, 47, San Tun, 52, Min Thura Zaw, 40, Soe Aung, 38, dan Soe, 26, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda maksimum RM1,000 terhadap tukang cat kereta San Oo dan pekerja pendawaian San Tun serta memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara sebulan, sekiranya gagal membayar denda.

Ketika ditanya Majistret mengapa mereka merentas daerah dan atas urusan apa, San Oo dan San Tun berkata mereka mahu pergi beraya.

Bagi tiga lagi OKS iaitu Min Thura, Soe Aung dan Soe, mahkamah menetapkan 18 Jan 2021 untuk menjatuhkan hukuman terhadap mereka kerana ketiga-tiganya menghadapi kesalahan berkaitan imigresen.

Mereka didakwa bersama-sama menaiki satu kenderaan yang sama seramai lima orang dan tidak mengemukakan surat kebenaran rentas daerah yang melanggar syarat di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)(No.8) 2020.

Kesemua OKS didakwa melakukan kesalahan itu di tepi Plaza Tol Rawang, Gombak di sini pada 1.20 pagi, 15 Nov lepas mengikut Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara yang boleh sampai enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kerana larangan merentas daerah telah diuar-uarkan di media sosial dan tiada alasan untuk mereka tidak mengetahui arahan itu.

Peguam Azman Abdullah yang mewakili kesemua OKS memohon hukuman denda minimum dengan alasan San Oo dan San Tun tidak mampu membayar denda yang tinggi.

“Kedua-dua anak guam saya menanggung keluarga dan mereka memohon maaf atas kesalahan tersebut serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama. Tiga lagi anak guam saya (Min Thura, Soe Aung dan Soe) mereka tidak mampu membayar denda,” katanya.

Min Thura juga mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan visa tamat tempoh untuk tinggal di Malaysia manakala Soe Aung dan Soe mengaku bersalah tinggal di negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 dan Seksyen 6(1)(C) akta sama.

Nur Intan tidak menawarkan jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh dan mahkamah tidak membenarkan mereka diikat jamin dan menetapkan tarikh sama (18 Jan 2021) untuk menjatuhkan hukuman ke atas mereka. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas