Berita

Hasrat KL City FC rangkul Piala AFC 2022 tidak kesampaian

KETUA pasukan KL City, Paulo Josue cuba melepasi pertahanan Al-Seeb pada perlawanan akhir Piala AFC 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
- Diterbit 22 Oktober 2022 3:06 PM MYT

HASRAT KL City FC mengenggam piala AFC 2022 tidak kesampaian selepas tewas dengan pasukan AL-Seeb 3-0 pada pertandingan akhir Piala AFC 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Skuad kendalian Bojan Hodak yang membariskan 11 pemain terbaik dilihat tampil dengan taktikal berlainan iaitu menyerang berbanding bertahan.

Kedua-dua pasukan menunjukkan aksi bertenaga pada permulaan permainan namun jaringan pertama AL-Seeb hadir pada minit ke-22 oleh pemain nombor 17, Ali Sulaiman Al-Busaidi hasil dari sepakan sudut yang menewaskan penjaga gawang KL City.

Sebelum tamat separuh masa pertama KL City ketinggalan dua gol selepas Abdul Aziz Humaid Al Maqbali berjaya menanduk masuk bola pada minit ke 37.

Pada babak kedua, Al Seeb menambah lagi derita apabila KL City FC dibolosi buat Kali ketiga hasil jaringan daripada Muhsen Saleh Al Ghassani pada minit 69.

Beberapa percubaan dilakukan bagi mencari jaringan buat pasukan KL City FC namun dinafikan oleh penjaga gol pihak lawan.

Tambahan masa empat minit pada separuh masa kedua gagal dimanfaatkan KL City FC dan keputusan kekal sehingga masa penamat.

Kemenangan ini juga sekali gus melayakkan Al-Seeb ke peringkat kelayakan Liga Juara-Juara AFC 2023-2024. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas