Berita

Hari Kesedaran Kanser Servik, 100 wanita di Labuan terima baucar saringan

SITI Zailah (tengah) menyampaikan replika cek bantuan baucar saringan mamogram kepada Fauziah (empat dari kiri) Pengerusi Persatuan Wanita Labuan (HAWA).
- Diterbit 21 Januari 2022 7:48 AM MYT

SERAMAI 100 wanita mewakili beberapa Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini, menerima sumbangan baucar Saringan Mamogram Dan Ujian HPV DNA daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sempena Hari Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Servik, baru-baru ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, sejumlah RM11.5 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi kesihatan wanita untuk pelaksanaan saringan awal kanser payudara dan kanser servik dalam kalangan wanita.

“Sesungguhnya saya amat berharap agar inisiatif kerajaan ini dapat dimanfaatkan oleh kaum wanita di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Diharapkan juga dengan sumbangan ini, usaha pembangunan wanita akan tercapai selari dengan strategi bagi membangun sebuah Keluarga Malaysia seperti yang diinspirasikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis penyerahan baucar saringan mamogram dan ujian HPV DNA sempena sambutan bulan kesedaran kanser servik 2022, di Tunas Hijau, pada Isnin lalu.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Reproduksi Manusia LPPKN Dr Azizuddin Mohd Yussof, Pengarah LPPKN Sabah Dennis Chai dan Pengarah Jabatan Kebajikan dan Masyarakat (JKM) Labuan Ansharey Matarsad.

Mengulas lanjut, beliau berkata kementeriannya melalui LPPKN telah mengambil beberapa langkah pendekatan agar menarik lebih ramai wanita untuk melaksanakan ujian mamogram.

Katanya, LPPKN akan menyediakan kemudahan pengangkutan dari Klinik Nur Sejahtera atau pusat komuniti ke pusat-pusat mamogram dan bantuan elaun makan sejumlah RM10.00 kepada mereka yang menjalani ujian mamogram.

“Bantuan kemudahan penginapan turut diberikan sebanyak RM110 sehari kepada mereka yang tidak dapat menyelesaikan urusan mamogram pada hari yang sama.

“Saya sentiasa menyokong, menggalakkan dan menyeru semua wanita khususnya kaum wanita di Wilayah Persekutuan Labuan untuk mengikuti program-program yang disediakan oleh kerajaan bagi kemajuan diri dan keluarga,” katanya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas