Berita

Fokus genggam emas SUKMA 2022

SITI Nur Nadia fokus ketika melakukan balingan.
- Diterbit 21 Januari 2022 7:29 AM MYT

BIARPUN masih dalam rawatan fisioterapi akibat kecederaan di bahagian belakang namun atlet boling Wilayah Persekutuan, Siti Nur Nadia Ismail tetap menjalani latihan boling seperti biasa.

Menurut atlet berusia 23 tahun ini kepada Wilayahku, dia kembali beraksi pada Disember lalu setelah lebih sebulan berehat di rumah.

“Sebenarnya saya dah lama sakit di bahagian belakang cumanya November lalu baru betul-betul sakit sehingga saya terpaksa berhenti ketika sedang berlatih.

“Sakit ni saya dah alami dalam tempoh yang lama antara sebabnya kerana saya mengangkat beban yang berat dan tersalah cara ketika mengangkat bola boling,” ujarnya.

Katanya lagi, biarpun dibenarkan berlatih semula namun dia tetap berhati-hati kerana bimbang kecederaan tersebut menjadi lebih teruk.

“Sekarang ni tumpuan saya adalah SUKMA selain pada bulan hadapan saya akan menyertai kejohanan Inter-State di Sunway Pyramid. Disebabkan itulah saya perlu menjalani latihan dengan konsisten.

“Sepanjang tahun ni banyak kejohanan yang akan diadakan jadi saya perlu bersedia untuk menempatkan diri ke tahap yang lebih baik.

“Saya betul-betul berharap agar virus COVID-19 ini segera berlalu kerana tak sanggup lagi berkurung di dalam rumah serta tidak dapat menjalani latihan seperti biasa,” ujar pelajar tahun akhir di Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.

Kongsinya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, dia dan rakan-rakan berdepan dengan tekanan mental dan fizikal.

“Kami hanya berlatih dan melakukan aktiviti kecergasan di rumah yang tidak tahu betul atau tidak selain dalam masa yang sama kami juga tertekan sehingga memerlukan semangat motivasi untuk bergerak semula.

“Mujurlah ramai yang memberikan sokongan kepada saya untuk kembali aktif terutamanya keluarga tersayang yang tidak jemu berada di sisi,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas