Berita

UAMK teroka teknik perniagaan menerusi Kelas Pemasaran Digital

COACH Zul memberi penerangan tentang strategi perniagaan atas talian menerusi aplikasi Zoom dan bersemuka.
- Diterbit 21 Januari 2022 10:01 AM MYT

PENULARAN wabak covid-19 dan pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun 2020 lalu telah menyebabkan berlakunya cetusan pasaran baharu melalui e-dagang dalam kalangan usahawan tempatan.

Ia juga menyebabkan beberapa aktiviti ekonomi lumpuh sejurus pengumuman penutupan kesemua sektor perindustrian, perdagangan dan lain-lain sehingga mendorong ramai peniaga meneroka strategi baharu untuk mengembang dan mempromosikan perniagaan mereka.

Rata-ratanya mengambil peluang cerah ini untuk mempelajari dan menguasai perniagaan atas talian dengan menjadikan laman media sosial seperti Facebook, Instagram, Tiktok dan Twitter sebagai platform permulaan dan perkenalan bisnes kepada orang ramai.

ROSMALINA

Perkara ini disokonv oleh salah seorang peniaga Usahawan Anak Muda Kota (UAMK) Rosmalina Md Nor,36, yang mengakui penguasaan kemahiran perniagaan atas talian amat penting untuk menyebar luaskan bisnes kepada orang ramai terutama semenjak PKP dilaksanakan tempoh lalu.

“Di musim pandemik ini, peniaga tidak tahu apa yang akan berlaku kelak sekiranya kita (peniaga) masih meneruskan strategi perniagaan yang sama iaitu secara langsung atau bersemuka.

“Kini, semua terletak di hujung jari dan pendigitilan telah menguasai kita. Oleh itu, perniagaan online sangat penting kerana ia dapat meluaskan bisnes bahkan membantu saya menjual barangan kepada orang di luar negeri juga,” jelasnya yang sudah 10 tahun terlibat dalam keusahawanan.

Katanya, untuk menguasai perniagaan atas talian, dia telah mengikuti kelas pemasaran digital selama empat hari bersama iQP Solutions dibawah kendalian Coach Zul.

PESERTA sedang mengikuti Kelas Pemasaran Digital secara bersemuka

“Saya telah mengikuti Digital Marketing Class untuk menambah ilmu dan pengetahuan baharu di samping mengukuhkan pemahaman dan strategi mengenai perniagaan online.

“Penerangan yang diberikan semasa kelas ini berlangsung sangat jelas dan menepati setiap keutamaan perniagaan online yang usahawan perlu lakukan. Sudah pasti saya akan mempraktikan setiap yang dipelajari untuk memantapkan lagi bisnes..

“Syukur Alhamdulillah, saya diberi peluang untuk mempelajari sesuatu baharu antaranya cara berniaga di Facebook dan Instagram, teknik menyunting gambar, menghasilkan ayat kreatif untuk menarik perhatian pelanggan, membuat jualan di platform Shoppee dengan betul serta melakukan live di beberapa laman media sosial lain,” kongsi peniaga yang menjual barangan seperti telekung, produk kecantikan dan kesihatan.

AZIAH

Sementara itu, Aziah Ibrahim,60 berkata, kelas pemasaran ini disampaikan dengan jelas sekali gus memberi peluang kepadanya dan rakan-rakan untuk bertanya soalan dan mendapatkan jawapan secara terus kepada pengajar.

“Sudah tentu jelas. Kami dapat terus bertanya soalan dan mendapat jawapan di situ daripada coach sekiranya kurang memahami.

“Paling seronok apabila kami dapat belajar membuat live di Shoppee kerana sebelum ini saya agak kekok untuk bercakap dihadapan kamera apatah lagi mengetahui bagaimana cara untuk melakukannya,” katanya.

AZIAH menjual beberapa barangan seperti telekung, produk kecantikan dan kesihatan di Bazar Kreatif Usahawan Anak Muda Kota.

Dalam pada itu, Aziah turut berkongsi pandangan kelas ini sememangnya wajar dilakukan kepada usahawan terutama peniaga yang sudah berumur untuk mendapat bimbingan dan pengetahuan luas mengenai perniagaan ini.

Terdahulu, kelas pemasaran digital secara percuma dibawah kendalian iQP Solutions dijalankan selama emapat hari bermula 7 Januari hingga 10 Januari lalu bermula 10.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari.

Kelas ini diadakan untuk mendedahkan tentang penguasaan strategi dsn teknik perniagaan atas talian menerusi media sosial kepada peniaga-peniaga yang terlibat dalam Usahawan Anak Muda Kota (UAMK) di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas