Berita

Harga RON95 diapung mulai Januari 2020, 2.86 juta penerima BSH nikmati subsidi petrol

HARGA minyak petrol RON95 akan diapungkan mulai 1 Januari tahun depan. - Gambar hiasan
- Diterbit 7 Oktober 2019 5:17 PM MYT

PUTRAJAYA – Kerajaan mengumumkan akan mengapungkan harga minyak petrol RON95 mulai 1 Januari tahun depan dengan jaminan bahawa sebarang kenaikan melibatkan harga bahan bakar dunia secara beransur-ansur tidak membebankan rakyat.

Serentak dengan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan memperkenalkan Program Subsidi Petrol (PSP) iaitu satu mekanisme subsidi petrol bersasar yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 2.86 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) serta golongan orang kurang upaya (OKU) di Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata, program subsidi petrol itu melibatkan kadar subsidi RM30 sebulan bagi kereta dan RM12 bagi motosikal dengan mengambil kira kenderaan mana yang paling tinggi penggunaan minyaknya oleh penerima BSH.

“Program Subsidi Petrol hanya dilaksanakan di Semenanjung Malaysia manakala Sabah, Sarawak dan Labuan harga petrol RN95 kekal pada kadar RM2.08 seliter,” kata beliau ketika mengumumkan PSP di kementeriannya di sini hari ini.

Saifuddin Nasution menyatakan, subsidi petrol yang dinikmati semua orang tanpa mengira kerakyatan dan pendapatan pada masa ini bakal diberikan kepada golongan sasar yang layak iaitu rakyat Malaysia berpendapatan rendah.

Bagi rakyat di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula, Saifuddin Nasution berkata, mereka akan menikmati harga minyak petrol pada kadar RM2.08 seliter setelah mengambil kira keperluan penduduk di kawasan tersebut yang sebahagian besarnya menggunakan kenderaan berkapasiti enjin besar dan diesel.

Jelas beliau, pelaksanaan PSP bakal menanggung kos sebanyak RM65.4 juta sebulan dan ia akan disalurkan melalui bantuan tunai yang dikreditkan terus ke akaun penerima setiap empat bulan sekali dengan bayaran pertama dilakukan pada April 2020.

“Kriteria penerima PSP adalah merupakan penerima BSH di Semenanjung Malaysia yang memiliki kenderaan atas nama sendiri dan cukai jalan yang sah,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata, penerima PSP perlu memenuhi kriteria pemilikan kenderaan yang telah ditetapkan iaitu mempunyai kapasiti 1,600cc dan ke bawah dan bagi kereta melebihi 1,600cc, berusia 10 tahun dan ke atas.

Kategori motosikal yang layak pula ialah motosikal 150cc dan ke bawah dan motosikal melebihi 150cc yang berumur tujuh tahun dan ke atas, ujarnya.

Bagi memastikan penerima yang layak tidak tercicir, Saifuddin Nasution berkata, penerima BSH boleh menyemak kelayakan mereka di laman web psp.kpdnhep.gov.my bermula 15 Oktober ini.

Sementara itu, pada sesi soal jawab, Saifuddin Nasution berkata, sekiranya harga minyak dunia turun mendadak, penerima berkenaan tidak diberikan subsidi namun sekiranya ia hanya menurun pada Mac dan April, bayaran PSP tetap akan dilaksanakan pada April depan.

Namun katanya, dalam keadaan geopolitik sekarang, pihaknya tidak melihat akan berlaku penurunan mendadak terhadap harga minyak dunia.

Ditanya tentang sekiranya kerajaan menikmati penjimatan daripada kaedah apungan harga petrol, Saifuddin Nasution berkata, pihaknya berhasrat untuk meluaskan PSP kepada golongan M40 dan perkara itu akan dikemukakan dalam Kabinet akan datang.

Mengenai kemungkinan berlaku kenaikan harga barang ekoran apungan harga minyak, Saifuddin Nasution berkata, seramai 2,300 pegawai penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan meningkatkan aspek pemantauan bagi mengatasi perkara itu.

“Orang ramai juga boleh melaporkan aduan kepada KPDNHEP melalui talian 1800-886-800, aplikasi telefon pintar EzADU, portal e-aduan dan whatsapp KPDNHEP 019-2794 317 atau hadir ke mana-mana pejabat KPDNHEP yang terdekat,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas