Berita

Kerajaan perlu membeli syarikat konsesi jika mahu hapuskan tol

PLAZA Tol Sungai Besi
KENDERAAN berbaris di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. PLAZA Tol Sungai Besi. - Gambar hiasan
- Diterbit 7 Oktober 2019 5:09 PM MYT

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, penghapusan segera tol tidak boleh dilakukan kerana ia memerlukan pembelian oleh kerajaan.

Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, perkara ini berdasarkan dapatan satu kajian mendalam yang dilakukan mengenai perkara itu.

Dr. Mahathir juga berkata, tempoh masa yang panjang diperlukan untuk mengurangkan beban rakyat dalam senario tol dihapuskan.

“Tetapi menurunkan bayaran tol boleh dipikul. Jika ada (pihak) swasta yang (mengutarakan cadangan) akan kurangkan tol, cadangan mereka boleh dipertimbangkan,” katanya seperti dilaporkan Bernama hari ini.

Janji keenam dalam manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas antara lain menyatakan gabungan itu akan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya dan berunding untuk mendapatkan harga terbaik bagi mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.

Jelas Dr. Mahathir: “Apabila saya kata kita tidak janji hapus tol, saya merujuk kepada manisfesto yang menyatakan ia tidak akan dilakukan serta merta.”

Perdana Menteri berkata, kajian menunjukkan bahawa kerajaan terpaksa berbelanja puluhan bilion ringgit untuk mengambil alih lebuh raya bertol secara serta merta dan berbilion ringgit lagi diperlukan untuk tujuan penyelenggaraan.

Kerajaan dahulu telah berhutang ribuan bilion ringgit (trilion ringgit) dan ia mesti dibayar bagi mengelak status muflis, katanya, sambil menambah pembayaran faedah dan hutang pokok menelan berbilion ringgit.

“Apabila dibayar, dana kerajaan tidak mencukupi untuk pembangunan infrastruktur yang penting jika beban pembelian dan penyelenggaraan lebuh raya ditambah kepada (perbelanjaan) operasi dan pembangunan kerajaan.

“Setelah dikaji, kerajaan tidak mampu melayan permintaan projek oleh rakyat jika dibebani dengan penyelenggaraan lebuh raya,” jelas Dr. Mahathir.

Beliau menarik perhatian bahawa syarikat-syarikat yang diberi konsesi tol oleh kerajaan boleh menikmati keuntungan, namun hakikatnya tidak semua yang memiliki konsesi lebuh raya meraih keuntungan.

“Ini kerana dana yang besar diperlukan untuk menyelenggara lebuh raya,” kata beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas