Berita

Op Tegas tangkap 30 warga asing di Pasar Borong Selayang, 60 tindakan sita barangan

OPERASI membanteras warga asing yang dijalankan oleh DBKL dan KDN di Pasar Borong Selayang.
- Diterbit 7 Oktober 2019 5:24 PM MYT

KUALA LUMPUR – Sepanjang Januari hingga Ogos lalu, sebanyak dua siri Operasi Tegas telah diadakan di Pasar Borong Selayang di sini dengan 60 tindakan sita barangan perniagaan penjaja warga asing di samping seramai 30 orang warga asing telah ditangkap untuk tindakan Jabatan Imigresen.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, operasi yang dibentuk melalui Task Force melibatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu adalah bagi mengatasi masalah kebanjiran peniaga warga asing di pasar borong berkenaan.

Katanya, Operasi Tegas merupakan tindakan bersepadu ke atas penjaja warga asing bersama-sama dengan agensi kerajaan lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, agensi yang turut terlibat ialah Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Kementerian Luar, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Majlis Keselamatan Negara, Majlis Perbandaran Subang Jaya dan jabatan-jabatan dalaman DBKL.

”Jabatan berkenaan akan meneruskan tindakan operasi bersepadu itu dari semasa ke semasa. Isu utama yang dilihat semasa pemantauan pihak penguatkuasa adalah seperti kebanjiran warga asing tanpa dokumen sah yang bekerja dan menguasai perniagaan.

“Selain itu, pemegang kad UNHCR yang menjalankan aktiviti perniagaan serta keadaan lalu lintas yang sesak dan tidak teratur disebabkan kewujudan peniaga haram warga asing,” katanya ketika menjawab soalan lisan MP Prabakaran (Bebas-Batu) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Khalid menyatakan, operasi bersepadu ini dilihat membantu dalam mengurangkan masalah kebanjiran warga asing dengan tangkapan yang dilakukan ke atas majikan dan pekerja warga asing tanpa permit.

Selain itu katanya, tindakan juga diambil ke atas peniaga yang melanggar syarat lesen seperti menggaji warga asing atau menyewakan lesen kepada pihak ketiga terutama kepada warga asing.

”DBKL juga ada menempatkan anggota penguatkuasa seramai 20 orang untuk tindakan secara pemantauan dan rondaan harian di Pasar Harian Selayang.

”Namun tindakan harian ini hanya membolehkan DBKL menyita pelbagai barangan milik penjaja warga asing atas faktor perwakilan kuasa yang terhad,” ujarnya.

Tambahnya, sepanjang Januari hingga Ogos lepas, sebanyak 950 tindakan pelbagai barangan perniagaan penjaja warga asing telah disita. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas