Fitnah vs Fakta

Harga beras: Kerajaan teliti manfaat dua pihak

KERAJAAN akan mengumumkan harga padi dan beras pada 20 Mac depan
- Diterbit 1 Mac 2024 11:48 AM MYT

ISU kenaikan harga beras sememangnya menjadi tumpuan saat ini. Biarpun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal membuat pengumuman tentang perkara tersebut pada 20 Mac depan namun ramai yang tidak senang duduk.

Di laman sosial, pelbagai pihak melahirkan rasa tidak berpuas hati kerana pengumuman tersebut mengambil masa yang agak lama untuk diputuskan sedangkan ia merupakan perkara yang penting.

Perlu difahami dengan sedalamnya bahawa perkara ini bukanlah hal yang remeh kerana ia berkait rapat antara satu sama lain. Sebagai contoh, jika beras naik, ia menjadi beban kepada pengguna begitu juga jika ia tidak naik, pesawah pula yang terbeban.

Maka, dengan sebab itu jugalah, Anwar perlu mengambil masa untuk meneliti dengan sebaik-baiknya sebelum memutuskan apa-apa keputusan agar semua pihak mendapat kebaikan.

Golongan pesawah antara yang miskin di negara ini jadi isu harga padi dan juga beras perlu menjadi agenda utama sekali gus membantu menaik taraf kehidupan golongan ini.

Memetik ucapan Anwar pada Program Madani Rakyat (PMR) Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor baru-baru ini, beliau menegaskan kerajaan harus mengimbangi tuntutan pesawah dan rakyat agar semua pihak mendapat keadilan.

“Pesawah mahu hasil padi mereka itu dinilai, maknanya kalau semua tak mahu tanam padi dan tukar (tanaman) lain untuk mendapat pendapatan lebih, negara hadapi risiko keselamatan makanan. Jadi, bagaimana hendak mengimbangi kedua-duanya?,” ujar beliau.

Tambah beliau, meskipun rakyat secara keseluruhan mahu harga beras turun dan dikawal namun di sebalik itu, pesawah adalah antara golongan paling miskin di negara ini.

Anwar berkata kerajaan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Terdahulu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan NACCOL diberi tempoh sehingga 20 Mac ini untuk memuktamadkan isu harga padi dan beras.

Jadi, diharapkan kepada masyarakat di luar sana, tunggu sahajalah pengumuman yang akan dibuat beberapa hari sahaja lagi. Usah terlalu ghairah membuat spekulasi sehingga boleh menimbulkan pelbagai persepsi negatif yang mengganggu gugat ketenteraman awam.

Sudah semestinya kerajaan akan mencari solusi yang terbaik dengan pendekatan holistik agar rakyat tidak terbeban sekali gus memberi manfaat kepada pesawah di negara ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas