Fitnah vs Fakta

Mansuh tol: Tunggu kewangan negara kukuh

PEMANSUHAN tol tidak dapat dilaksanakan kerana terikat dengan perjanjian
- Diterbit 1 Mac 2024 12:06 PM MYT

JIKA berbicara tentang perkhidmatan tol, ia merupakan isu sensitif kepada rakyat. Sudah tentu ramai yang meminta kerajaan untuk menghapuskannya agar tidak perlu lagi berasa terbeban untuk membayar tol apabila menggunakan lebuhraya.

Malah isu ini juga sering kali dipolitikkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab bagi menghentam kerajaan hari ini. Sedangkan sistem tol ini telah wujud sebelum pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tiada istilah menabur janji yang diperkatakan apabila bercakap tentang isu tol kerana semua sedia maklum ia bukanlah sesuatu yang mudah dihapuskan kerana melibatkan perjanjian konsesi tol.

Memetik maklum balas Anwar terhadap pertanyaan berkaitan terlalu banyak tol di ibu negara dalam forum Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor, beliau berkata perkara itu boleh dirundingkan apabila kewangan negara semakin kukuh.

“Saya setuju dengan anda. Banyak orang mengadu tentang tol di Kuala Lumpur ni. Apa yang kita buat sekarang? Tetapi ia ambil masa. Kewangan negara mesti kuat baru boleh kita runding semula (konsesi tol).

“Sekarang ini kita terikat dengan perjanjian dengan syarikat-syarikat tol ni. Tol ini saya warisi (daripada pentadbiran lalu). Tol macam tu, bila kita tutup, kita kena belanja. Dia ada standard agreement,” kata beliau.

Diharapkan rakyat memahami situasi yang sedang dihadapi kerajaan. Biarpun sentiasa memperjuangkan rakyat sekali gus ingin memastikan tidak terbeban namun ia agak sulit untuk dilaksanakan dalam masa yang singkat.

Pun begitu, mendengari rungutan rakyat dalam mendepani isu ini, kerajaan sentiasa cakna dengan memberi tol percuma setiap kali perayaan besar seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan sebagainya.

Terdahulu, pada tahun 2022, Putrajaya menstruktur semula perjanjian mengambil alih empat lebuh raya berkaitan Gamuda Bhd. Ia terdiri daripada Lebuhraya Sprint dan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART. Ia bagi mengelakkan caj tol dinaikkan sehingga tamat tempoh konsesi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas