Berita

Harapan tuai 70 pingat emas di Sukan SEA Manila

RAFIQ (tengah) mengibarkan Jalur Gemilang pada Majlis Penyerahan Bendera Kebangsaan Kepada Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Filipina baru-baru ini.
- Diterbit 2 Disember 2019 3:48 AM MYT

Oleh Muhamad Nabeel

KUALA LUMPUR – Temasya Sukan SEA 2019 di Filipina yang bermula pada 30 November hingga 11 Disember ini menyaksikan Malaysia menghantar kontinjen terbesar dalam sejarah penyertaan di luar Kuala Lumpur.

Seramai 773 atlet dan 339 pegawai akan mengambil bahagian dalam 52 daripada 56 jenis sukan yang dipertandingan.

Temasya ke-30 ini terbaha­gi kepada tiga kluster utama iaitu Manila, Subic dan Clark.

Kali ini Malaysia menyasarkan 70 pingat emas dan menjangkakan empat sukan menjadi penyumbang utama emas negara antaranya olahraga, gimrama, memanah dan boling padang.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sememangnya tuan rumah mempunyai kelebihan namun apa yang lebih mustahak adalah perbandingan pencapaian dengan edisi Sukan SEA di luar Kuala Lumpur sebelum ini.

“Jika atlet kita mampu mencapai sasaran 70 pingat emas, maka kita akan berada di kedudukan keempat keseluruhan dan memperbaiki pencapaian terbaik pertandingan di luar Kuala Lumpur,” ujarnya.

Sementara itu, Chef de Mission kontinjen Malaysia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, beliau yakin atlet yang ada bakal memberi kejutan berdasarkan rekod serta semangat yang dipamerkan.

“Kita lihat sejauh mana atlet kita mampu pergi te­tapi jangan dilupa ada di antara mereka merupakan atlet muda yang pertama kali mewakili negara ke temasya besar ini,” katanya.

Terdahulu, dalam majlis penyerahan Jalur Ge­milang kepada kontinjen Malaysia yang berlangsung penuh gemilang itu turut me­nyaksikan jaguh tenpin bo­ling negara, Rafiq Ismail di­pilih sebagai pembawa Jalur Gemilang di Filipina nanti.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas