Berita

Sasar ambil pemain lebih muda

KHALID (tiga kanan) bersama barisan exco KLFA yang baharu pada Kongres ke-32 KLFA baru-baru ini.
- Diterbit 2 Disember 2019 3:51 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) yang baharu, Khalid Abd. Samad komited dalam mengembalikan semula zaman kegemilangan persatuan tersebut satu ketika dahulu.

Khalid yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, satu mesyuarat khas akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi merangka perancangan masa hadapan KLFA dari semua segi.

“Pada mesyuarat tersebut, kita akan menetapkan jurulatih serta memilih pasukan pemain yang hebat agar musim akan datang KLFA kembali semula ke Liga Super dan seterusnya muncul antara pasukan empat terbaik.

“Dalam merealisasikan harapan tersebut, kita lebih terbuka untuk mengambil pemain-pemain muda yang sedang bersemangat memburu kejayaan serta menaikkan reputasi mereka,” ujarnya.

Pada musim ini, skuad Warga Kota itu sekadar menamatkan kedudukan di dua tangga tercorot sekali gus diturunkan pangkat ke Liga Perdana pada musim depan.

Mengulas tentang pemilihan tampuk pimpinan KLFA yang baharu, Khalid memberi jaminan tiada sebarang unsur politik dalam persatuan tersebut melainkan hanya tanggungjawab memajukan dan meningkatkan taraf bola sepak KLFA.

Ahli Parlimen Shah Alam itu dilantik sebagai Presiden KLFA selepas beliau menang tanpa bertanding pada Kongres ke-32 badan induk tersebut serta mendapat persetujuan sebulat suara ahli gabungan.

Terdahulu Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dilantik sebagai Timbalan Presiden KLFA selepas menang tanpa bertanding.

Kerusi Naib Presiden pula disandang Syed Yazid Syed Omar, Datuk Astaman Abd. Aziz; Mohd. Hamidi Abu Bakar dan Azli Yusof serta 10 Ahli Jawatankuasa Eksekutif antaranya Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Dr. Hasnul Faizal Hushin Amri.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas