Selebriti

“Guna gambar untuk iklan judi, itu melampau!” – Izzue Islam mahu buat laporan polis

- Diterbit 20 Ogos 2021 3:42 PM MYT

ISU foto selebriti disalahgunakan untuk melariskan sesuatu produk bukanlah perkara baharu.

Terbaru, pelakon popular Izzue Islam, 31, menjadi mangsa iklan judi atas talian yang menggunakan gambar dan namanya.

Menerusi instagram, Izzue menegaskan dirinya tidak pernah terlibat dengan iklan tersebut dan menganggap perbuatan itu sudah melampau.

“Aku tak pernah terjebak dengan iklan kasino online! Tolong jangan buat orang konpius. Terima kasih pada semua yang dm (direct message). Kalau korang tak dm aku pon taktahu pasal hal ni,” tulisnya.

Izzue juga merancang mahu membuat laporan polis kerana iklan tersebut bukan sahaja menjatuhkan maruahnya sebagai artis dan orang Islam, tetapi juga boleh memperdaya orang ramai.

“Guna gambar untuk iklan judi, itu melampau!

“Saya bercadang mahu membuat laporan polis esok. Tujuan laporan itu adalah untuk menegaskan saya tak pernah terlibat dengan mana-mana iklan judi. Apatah lagi nak membenarkan gambar saya digunakan.

“Lagi pun saya beragama Islam. Mana mungkin saya terlibat dengan semua itu. Saya Masih waras untuk berfikir.

“Selain itu, saya juga bimbang lebih ramai yang terpedaya untuk terlibat dalam Judi tersebut apabila gambar saya digunakan,” ujar Izzue ketika dihubungi Wilayahku.

Menurut Izzue, ini bukan kali pertama gambarnya disalahgunakan. Sebelum ini terdapat beberapa produk menggunakan gambar dan namanya tanpa kebenaran.

“Tidak dinafikan, sebelum ini ada produk kain dan pakaian menggunakan gambar saya. Tapi saya tak mahu kecoh-kecoh kerana memikirkan mereka mencari rezeki.

“Namun untuk kali ini (salah guna gambar untuk iklan judi), saya mahu membuat laporan polis kerana berasakan ia agak melampau.

“Sekurang-kurangnya ia sebagai amaran kepada pihak di luar sana agar tak menggunakan gambar selebriti sesuka hati tanpa kebenaran,” jelas Izzue lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas