Berita

Grand coalition: Cadangan terbaik, tumpu usaha pulihkan negara

- Diterbit 18 November 2020 3:16 AM MYT

CADANGAN penubuhan Kerajaan ‘grand coalition’ melibatkan penyertaan sekurang-kurangnya, 12 hingga 13 parti politik yang sealiran, adalah amat baik dan bertepatan keperluan politik semasa.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, usaha tersebut membolehkan tumpuan khusus diberikan untuk memulihkan negara yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, langkah diambil itu sejajar dengan perkara yang dilakukan Tun Abdul Razak sebelum ini dan mengapa tidak tindakan yang sama turut dilakukan pada masa ini.

Pada hematnya, pihak yang menghadapi masalah dengan cadangan tersebut adalah semata-mata memikirkan kepentingan diri, mahu menjadi PM dalam masa cepat sedangkan perkongsian kuasa secara adil pula akan membolehkan semua pihak mengecapi nikmat agihan kuasa.

“Saya juga merasakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai PM tidak lama kerana faktor usia selain kesihatan dan sebagainya, jadi sudah pasti pelan penggantian jawatan itu dengan mengambil kira kepentingan semua pihak boleh dibuat.

“Begitu juga soal dasar setiap parti berbeza yang boleh diakomodasi oleh kerajaan. Ini pasti lebih menguntungkan parti-parti terbabit, berbanding terus menyalak sebagai pembangkang yang tidak mampu menghasilkan perubahan signifikan bagi kelangsungan perjuangan mereka,” katanya.

Kamarul Zaman mengulas cadangan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri TPr Annuar Musa mengenai pembentukan kerajaan ‘grand coalition’ melangkaui parti-parti Melayu sealiran demi kestabilan politik dan pentadbiran negara.

Menurutnya, cadangan Ahli Parlimen Ketereh itu perlu dihormati kerana berpandangan jauh dalam politik dan amat arif dalam keadaan semasa kini, tiada pihak boleh menang sendirian atau menjadi abang besar dalam mana-mana gabungan.

Katanya, penubuhan kerajaan grand coalition itu juga amat penting bagi mengelakkan mana-mana parti mendominasi dalam mentadbir kerajaan.

“Hanya pemimpin berfikiran lapuk, tidak relevan dengan politik semasa sahaja akan buat gesaan supaya partinya kaji semula kerjasama dengan parti-parti lain tatkala parti lain sedang berusaha untuk membesarkan gabungan mereka.

“Tindakan (gesaan) mengkaji semula kerjasama dengan parti-parti lain adalah langkah bunuh diri dalam politik,” tegasnya merujuk gesaan oleh Ku Li supaya UMNO mengkaji semula hubungannya dengan Parti Bersatu dan PAS ketika ini.

Gesaan pemimpin veteran UMNO itu amat jelas bertentangan budaya politik penyatuan diamal ketika ini, malah pembentukan grand coalition melibatkan antara 12 ke 13 parti politik sealiran, merupakan solusi terbaik ke arah pembentukan Kerajaan berpaksikan kemakmuran bersama.

Annuar melalui laman Facebook, sarankan suatu penyatuan muafakat lebih besar yang melibatkan penyertaan BN, PN, Gabungan Parti Sarawak dan juga Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diwujudkan.

“Muafakat besar atau grand coalition ini sebagai suatu persiapan negara berdepan dengan pasca Covid-19. Usaha penyatuan ummah ini menjadi tanggungjawab utama dan berterusan kita.

“Sudah berkali-kali politik nasional diseret kerana mempertahan atau menentang individu tertentu. Cukup-cukuplah,” katanya yang juga merupakan Menteri Wilayah Persekutuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas