Berita

Inisiatif Belanjawan 2021 bantu usahawan muda bangkit daripada kesusahan selepas PKP

- Diterbit 18 November 2020 4:15 AM MYT

SEPANJANG tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lepas, kehidupan pasangan suami isteri Mohd Aizat Mohamed, 35, dan Nur Adilah Hambali, 32, ibarat ‘kais pagi makan pagi’ setelah terpaksa menghentikan operasi gerai burger mereka.

Dalam situasi buntu akibat kehilangan satu-satunya punca pendapatan, kedua-dua mereka terpaksa juga mengambil risiko membuka gerai sementara menjual burger dan Roti John di hadapan rumah flatnya di Segambut dengan harapan dapat menampung kehidupan daif ketika pandemik COVID-19.

Bagi menampung pendapatan tidak menentu serta terpaksa berhadapan dengan risiko gerai tanpa lesen itu disita pihak berkuasa tempatan (PBT), mereka turut menawarkan tempahan dalam talian dan khidmat penghantaran kepada pelanggan di sekitar kawasan perumahan mereka.

“Kami berdua tidak mahu lagi hidup dalam keadaan tertekan sebegitu, dengan kos hidup tinggi di bandar serta perniagaan tidak menentu, kami sanggup buat apa sahaja bagi meneruskan kehidupan dengan mencuba nasib memohon pelbagai bantuan daripada kerajaan.

Namun, Mohd Aizat bersyukur kerana kerajaan telah menawarkan pelbagai inisiatif untuk membantu meringankan beban golongan B40, terutamanya golongan miskin bandar seperti mereka yang sukar mendapatkan pekerjaan dan ingin memulakan perniagaan.

“Contohnya, pengumuman Belanjawan 2021 pada 6 Nov lepas turut menggalakkan usahawan muda memulakan perniagaan mereka dengan bantuan pembiayaan menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB).

“Ia sekali gus membantu kami yang kehilangan pekerjaan ketika PKP akibat kerugian untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan selain dapat meringankan beban golongan berpendapatan rendah,” katanya kepada Bernama.

INISIATIF

Dengan inisiatif kerajaan menawarkan pelbagai pembiayaan kepada usahawan muda, perancangan untuk mengembangkan perniagaan menjadi lebih mudah.

Ini susulan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan SME Bank akan menyediakan dana kemudahan pembiayaan Skim Lestari Bumi berjumlah RM300 juta bagi menggalakkan transformasi perniagaan mikro dan kecil Bumiputera.

Selain itu, RM1.9 bilion pinjaman disediakan kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui Pakej PRIHATIN dan PENJANA, selain platform ‘JanaNiaga’ bagi mereka yang menghadapi masalah aliran tunai dan kesukaran mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan.

Pembiayaan kredit mikro bernilai hampir RM1.2 bilion turut disediakan melalui TEKUN, PUNB, Agrobank, BSN dan institusi kewangan lain, serta jaminan sehingga RM10 bilion dengan RM2 bilion diperuntukkan khusus untuk usahawan bumiputera.

GALAK GOLONGAN MUDA MULAKAN PERNIAGAAN

Bagi pengusaha Foodtruck, Siti Rafitah Rakimi, 35, inisiatif kerajaan dalam menyediakan pelbagai peluang kepada usahawan muda memulakan perniagaan menerusi Belanjawan 2021 adalah langkah prihatin terhadap golongan terjejas akibat PKP.

“Sepanjang tempoh PKP, ramai peniaga dan penjaja terutama pengusaha Foodtruck tidak dapat bergerak ke mana-mana kerana semua orang berada di rumah, ada dalam kalangan kami membuat bisnes dalam talian bagi menampung perbelanjaan harian.

“Ada juga yang berputus asa dan menjual Foodtruck mereka kepada pihak ketiga, jadi jika kerajaan dapat memberi bantuan pembiayaan dengan kadar faedah yang lebih rendah, mungkin lebih ramai lagi akan bangkit semula untuk memulakan kembali perniagaan Foodtruck mereka,” katanya.

Ramai usahawan muda yang memulakan perniagaan mereka dengan Foodtruck mendapat sambutan yang amat menggalakkan terutama makanan berasaskan ‘western’.

“Ramai dalam kalangan mereka sangat kreatif terutama dari segi mempromosikan perniagaan foodtruck menerusi media sosial, pelanggan pula terdiri daripada anak muda.

“Dengan peluang yang bakal diberikan oleh kerajaan menerusi Belanjawan 2020, diharap dapat melahirkan lebih ramai lagi usahawan baharu terdiri daripada orang muda,” katanya.

PELUANG KEPADA USAHAWAN MUDA

Setiausaha Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia, Mohd Zamri Mohamed berkata, peluang yang diberikan oleh kerajaan menerusi pelbagai pembiayaan usahawan harus dimanfaatkan oleh golongan muda terutama mereka yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19.

“Banyak perniagaan berbentuk penjaja sebenarnya terjejas teruk akibat pandemik COVID-19, selain syarat dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan amat ketat untuk menjalankan perniagaan pasar malam dan penjaja harian.

“Oleh itu, mereka boleh beralih kepada perusahaan dalam talian yang mana mereka boleh menguar-uarkan produk dan perkhidmatan mereka menerusi media sosial serta menawarkan khidmat penghantaran kepada pelanggan.

“Kemudahan pembiayaan seperti TEKUN amat bersesuaian bagi mereka yang ingin memulakan perniagaan kecil-kecilan sama ada secara gerai mahupun dalam talian, terutama usahawan muda yang mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan berasaskan ‘Food and Beverage’ kerana modal tidak tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, agensi seperti TEKUN dan PUNB harus memudahkan urusan permohonan oleh pemohon untuk menerima pembiayaan berkenaan.

“Sebagai agensi pelaksana tidak perlu merumitkan urusan permohonan yang kita tahu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, ramai pemohon memerlukan suntikan modal dalam kadar segera.

“Kita mahu urusan cekap dan pantas untuk agihan secara telus kerana masih ramai golongan peniaga terjejas akibat pandemik ini,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan penubuhan laman sesawang khas untuk rujukan umum bagi melancarkan hubungan dua hala antara pemohon dengan agensi pelaksana.

Sementara itu, Pengarah Kanan Institut Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata, kerajaan atau Government Linked-Company (GLC) perlu membuka lebih banyak kontrak kepada usahawan terjejas akibat PKP bagi memberi peluang perniagaan kepada mereka.

“Walaupun pelbagai peluang pembiayaan dan pelepasan cukai diberikan kepada mereka menerusi Belanjawan 2021, tanpa potensi perniagaan pembiayaan itu tidak akan menjana ekonomi.

“Selain itu, mikrokredit yang ditawarkan itu perlu dihibridkan dengan ‘softloan’ supaya usahawan diberi peluang mengumpul keuntungan terlebih dahulu sebelum pembayaran dibuat,” katanya.

Ketika pandemik COVID-19 masih belum pulih, peluang pekerjaan amat sedikit dan golongan muda menghadapi cabaran dalam mendapatkan pekerjaan baharu berikutan ekonomi merosot.

“Ramai dalam kalangan mereka tentunya sedang mencari peluang untuk memulakan perniagaan sama ada secara fizikal mahupun dalam talian untuk menjadi usahawan.

“Nasihat saya, jadilah usahawan yang berilmu dengan memanfaatkan teknologi sedia ada dan innovatif, serta berdaya kreatif, bukan sekadar menjadi usahawan kerana keperluan, selain perlu berani untuk membuat keputusan keluar dari kepompong keselesaan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas