Berita

Gesa warga Labuan manfaat peluang

ZAIZALNIZAM (tiga kanan) ketika menyampaikan bantuan komputer riba kepada pelajar Labuan baru-baru ini. ZAIZALNIZAM (tiga kanan) ketika menyampaikan bantuan komputer riba kepada
- Diterbit 4 Jun 2022 1:00 AM MYT

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) mengagihkan secara saksama dalam sumbangan perkhidmatan serta bantuan bagi mempertingkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah di Wilayah Persekutuan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaizalnizam Zainun berkata, ketiga-tiga warga wilayah tersebut sentiasa diberi perhatian khusus termasuklah Labuan biarpun ia berada di luar semenanjung.

“Bagi Labuan, bantuan diberi menerusi tiga medium iaitu disampaikan melalui pemimpin masyarakat, Perbadanan Labuan atau pihak YWP sendiri ketika menghadiri program-program yang dianjurkan di sana,” katanya kepada Wilayahku.

Pun begitu, Zaizalnizam berkata setakat ini permohonan bagi sumbangan bantuan daripada Labuan adalah lebih sedikit jika dibandingkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Ketika ini terdapat permohonan sumbangan bantuan di Labuan namun ia tidak banyak. Sehubungan itu, kita mengharapkan warga Labuan mengambil kesempatan ini untuk melayari laman sesawang YWP bagi mengetahui bentuk sumbangan atau bantuan yang disediakan.

“Permohonan boleh dilakukan secara atas talian dan pihak YWP akan melihat terlebih dahulu sebelum kelulusan diberikan,” ujarnya yang baru sahaja menyampaikan Skim Bantuan Awal IPT kepada warga Labuan.

Dalam pada itu, mengulas lanjut berkenaan usaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menjadikan Labuan sebagai sebuah tempat pelancongan baharu, beliau berkata pihaknya akan turut bekerjasama dalam merealisasikan perkara tersebut.

“YWP akan membantu sebaik mungkin mempromosi dan memperkenalkan Labuan sebagai sebuah destinasi pelancongan menarik menerusi perkongsian di media sosial selain terlibat dengan beberapa projek khususnya pembangunan pelancongan kelak.

“Namun buat masa ini kita tidak dapat perincikan dengan lebih jelas dan akan lihat bagaimana YWP akan melibatkan diri dalam pembangunan pelancongan di Labuan,” jelasnya yang mengakui Labuan memiliki banyak destinasi menarik untuk aktiviti pelancongan.

Terdahulu, YWP memperuntukkan sebanyak RM5,000 bagi menaja juadah rumah terbuka dan sumbangan duit raya di Perhimpunan Bulanan Perbadanan Labuan dan Semarak Aidilfitri 2022 yang diadakan di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, baru-baru ini. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas