Berita

Shahidan ucap tahniah kepada atlet Sukan Sea Wilayah Persekutuan

SHAHIDAN (dua kiri) bergambar bersama dua atlet Labuan (tengah) sejurus Majlis Perhimpunan Bulanan Perbadanan Labuan dan Semarak Aidilfitri di Labuan, pada Isnin.
- Diterbit 4 Jun 2022 2:00 AM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mengucapkan tahniah kepada tiga atlet kelahiran Labuan yang meraih pingat di temasya Sukan Sea di Hanoi, baru-baru ini.

Beliau berkata, kejayaan Nor Azirah Suhaimi meraih pingat gangsa bagi sepak takraw wanita, Muhammad Aiqal Asmadie (gangsa) (Karate Kumite) serta Siti Shazwana Ajak (perak) (Silat Olahraga Tempur) membuktikan Labuan berpotensi melahirkan lebih banyak atlet yang berkualiti dan berdaya saing.

“Tahniah diucapkan juga kepada pengurus, jurulatih dan persatuan sukan silat, persatuan karate dan persatuan Sepak Takraw Labuan yang telah berjaya melahirkan bintang di arena sukan.

“Dengan kejayaan ini, saya optimis bahawa Labuan juga mampu menjadi hub bagi latihan sukan-sukan tertentu seperti sukan layar dan bola tampar pantai. Ini kerana Labuan sebagai sebuah pulau, amat sesuai untuk sukan-sukan seumpama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perbadanan Labuan dan Semarak Aidilfitri yang diadakan di Perkarangan Kompleks Sukan Laut Antarabangsa di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias dan Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Seri Amir Hussien.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Datuk Zaizalnizam Zainun dan Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Dr Hasnul Faizal Hushin Amri. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas