Berita

Gelandangan Anjung Kelana kini dikenali sebagai KUAK

SHAHIDAN (kiri) turut menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada mangsa banjir di Karak, Rabu lalu.
- Diterbit 31 Disember 2021 3:43 AM MYT

GELANDANGAN adalah satu gelaran yang dahulunya sering dipandang hina oleh masyarakat. Namun keadaannya kini berbeza apabila rata-rata mereka sudah mampu berdiri untuk membina kehidupan baharu.

Perubahan situasi mendorong warga Pusat Transformasi Gelandangan Anjung Kelana memperbaharui gelaran tersebut kepada Komuniti Anjung Kelana (KUAK) bermula baru-baru ini.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, perubahan nama itu berikutan golongan tersebut sudah mampu membina kehidupan baharu dan tidak mahu lagi menjadi bebanan masyarakat.

“Kebanyakan mereka telah mampu membina kehidupan baharu dan sudah pun bekerja, jadi mereka tidak mahu lagi dipanggil sebagai gelandangan.

“Mereka (warga anjung kelana) juga akan menjadi sukarelawan untuk operasi pembersihan Pasca Banjir di Karak. Tiada paksaan dan hanya individu yang ingin menjadi sukarelawan secara sukarela sahaja akan turun bertugas.

“Mereka telah berada di sini sejak Ahad (19 Disember) dan Alhamdulillah saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana mereka sendiri yang meminta untuk membantu mangsa banjir, ” katanya selepas membuat tinjauan operasi pasca banjir bersama agensi-agensi dibawahnya di sekitar kawasan Karak, Rabu lalu.

Sementara itu, Shahidan berkata, 9,000 anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menyertai misi pasca banjir di kawasan terjejas bertindak sebagai sukarelawan tanpa sebarang imbuhan.

“Penyertaan ini adalah secara ikhlas tanpa sebarang paksaan atau arahan sebaliknya mereka melakukan kerja ini tanpa keluhan atau mengharap apa-apa imbuhan.

“Saya juga membawa sukarelawan dari Perlis untuk datang membantu anggota DBKL dalam operasi ini. Jika kita membuat kerja secara beramai-ramai, kita dapat menjimatkan tempoh pembersihan,” jelasnya yang turut memberitahu sebanyak 165 bakul makanan telah diedarkan kepada mangsa banjir di sekitar Karak.

Tambah beliau, kerja pembersihan tetap diteruskan di kawasan terjejas seperti bangunan dan tempat awam antaranya masjid, surau, sekolah, tadika, Pusat Komuniti, Dewan Orang Ramai, Klinik Kesihatan dan banyak lagi.

“Lebih 300 kakitangan dan sukarelawan dari KWP, PPj, DBKL, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) terlibat dalam misi bantuan kali ini.

Beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi-agensi terlibat, para media dan semua pihak di atas bantuan dan kerjasama yang diberikan untuk membantu rakyat yang sedang ditimpa musibah.

“Saya juga menyeru kepada semua pihak agar saling membantu antara satu sama lain selaras dengan konsep Keluarga Malaysia demi menjayakan Keluarga Wilayah yang prihatin serta mampan,” jelasnya. – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas