Berita

Bantuan Pasca Banjir terus dipergiat, prihatin nasib mangsa terlibat

PENGARAH Operasi NADMA, Datuk Hussein Omar turut sama mengangkut sisa buangan daripada rumah mangsa yang terjejas
- Diterbit 31 Disember 2021 3:16 AM MYT

MEMASUKI minggu kedua pasca banjir melanda Daerah Hulu Langat, menyaksikan misi bantuan semakin giat disalur pelbagai pihak yang prihatin terhadap nasib mangsa bencana.

Selain jabatan dan agensi kerajaan, parti politik serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) turut membantu mangsa di segenap kampung dengan menghulurkan sumbangan di samping memerah keringat membersihkan kediaman terjejas.

Salah seorang penduduk, Mohd Aidil Mohd Salleh berkata, bantuan dan sumbangan disalur sangat dihargai kerana dapat meringankan beban kerja pembersihan di rumahnya.

“Saya bersyukur dan terima kasih di atas bantuan makanan, barangan dan juga tenaga disumbang oleh pelbagai pihak membantu. Hari ini, terutama pasukan SMART Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) turut hadir meringankan beban ditanggung,” katanya yang ditemui di Kampung Jawa, Batu 18, Hulu Langat.

Hadir sama, Pengarah Operasi NADMA, Datuk Hussein Omar Khan dan Pengerusi MPPWP Sub Zon 5 Bandar Tun Razak, Farouk Mohd Noor.

WAKIL agensi kerajaan dan NGO yang terlibat dalam menggerakkan misi bantuan banjir di Kg Jawa, Batu 18, Hulu Langat.

Program bantuan ‘Misi Langat Menangis Satukan Persaudaraan’ usahasama Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar yang juga Timbalan Menteri Luar, NGO Kerinchi Team dan Pasukan Bantuan Sukarelawan Bulan Sabit Merah KL (VAD44) membantu kerja pembersihan empat rumah mangsa di kampung itu bermula 9 pagi sehingga 2 petang.

Sementara itu, Hussein berkata, inisiatif NADMA turun padang membantu untuk ringankan beban mangsa yang kebanyakannya berdepan cabaran hidup dalan situasi sukar ketika ini.

Katanya, NADMA selaku agensi pusat bertindak menyelaras dan mengurus gerak kerja bencana, komited membantu rakyat di akar umbi sebagai tanggungjawab menyantuni warga terjejas pada banjir kali ini.

“Dengan kekuatan tenaga kira-kira 80 petugas, NADMA menggunakan sepenuhnya keupayaan jentera untuk kelancaran operasi di lokasi yang terjejas namun kami perlukan sokongan agensi berkaitan untuk memastikan kebajikan mangsa terpelihara,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas