Berita

PKOB diteruskan sehingga selesai – Shahidan

SHAHIDAN (tengah) menyampaikan bantuan makanan kepada mangsa yang terjejas di Karak, Pahang. SHAHIDAN (tengah) menyampaikan bantuan makanan kepada mangsa yang terjejas di Karak, Pahang.
- Diterbit 31 Disember 2021 6:23 AM MYT

PUSAT Kawalan Operasi Banjir (PKOB) di bawah pemantauan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan diteruskan sehingga operasi pembersihan pasca banjir selesai sepenuhnya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, semua sukarelawan termasuk kakitangan di bawah agensi pimpinannya telah diarahkan untuk membantu operasi berkenaan.

“Pegawai dan kakitangan KWP, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj), Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) antara agensi yang terlibat.

“Kita hadir di semua kawasan terjejas di Selangor seperti Dengkil, Bukit Changgang, Bukit Kuda dan Hulu Langat serta Temerloh, Pahang di atas keperluan dan permintaan daripada penduduk bagi menyelesaikan beberapa perkara,” katanya kepada pemberita selepas taklimat berkenaan operasi pasca banjir di Karak, pada 29 Disember.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, pasukan di Hulu Langat masih bertugas untuk membersihkan sampah sarap dan pihaknya telah menambah bilangan anggota bagi mempercepatkan kerja-kerja tersebut.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pasukannya di Temerloh kerana telah menjalankan tugas sebaik mungkin sepanjang misi ini dilaksanakan.

“Konsep pertolongan ini ibarat bila orang susah kita tolong, bila kita susah orang tolong, inilah konsep Keluarga Malaysia.

“Kita semua (agensi kerajaan) sedang berganding bahu menyelesaikan misi ini dan akan menggunakan pelbagai peralatan untuk membantu melengkapkan kelengkapan pembersihan kawasan yang dilanda bencana,” ujarnya.

Terdahulu, beliau bersama isterinya, Datin Seri Shamsiah Md Yassin turun padang meninjau operasi pasca banjir yang dikawal selia anggota DBKL di Hulu Langat dan Karak, Pahang. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas