Berita

Garis panduan penjualan arak: UMNO, PAS ucap tahniah

|
- Diterbit 20 November 2020 4:35 AM MYT

TINDAKAN tegas dan berani Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merupakan langkah proaktif yang bersifat mensejahterakan masyarakat khususnya di ibu negara yang penuh dengan kesesakan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Mohammad Rafii berkata, penguatkuasaan tersebut adalah tindakan tepat dan jitu berikutan kebelakangan ini, banyak kes pemandu mabuk sehingga mengakibatkan kematian dilaporkan.

Malah, kata Naib Ketua UMNO Seputeh itu, penjualan perlu dihadkan susulan penemuan botol dan tin bergelimpangan di pondok-pondok bas sekitar kawasan perumahan.

Sehubungan itu, tegas beliau, kenyataan DAP yang mengaitkan isu tersebut dengan keadaan ekonomi adalah tidak wajar kerana ia patut dilihat dari sudut lain termasuk berkaitan nyawa dan keselamatan penduduk.

“Ia disebabkan minuman keras itu boleh dibeli di kedai-kedai serbaneka malah terdapat juga di kedai runcit biasa,” katanya dengan tindakan tegas itu, kadar penglibatan anak remaja dapat dibendung.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad menyatakan, pihaknya menyokong penuh tindakan DBKL tersebut.

Katanya, usaha proaktif DBKL itu harus diberi pujian kerana ia secara tidak langsung dapat mengatasi sebahagian daripada masalah sosial masyarakat seperti punca kemalangan jalan raya, kematian, keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak dan jenayah keganasan.

“Di samping itu, ketegasan tersebut dapat membantu dari aspek kesihatan seperti mencegah penyakit kanser serta penyakit lain yang berbahaya.

“Sebagai contoh, satu penyelidikan oleh Peter Anderson terhadap kesan pengambilan alkohol menyumbang 40 peratus daripada sembilan juta kanak-kanak bagi kes keganasan dan penderaan di Eropah,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Kamaruzaman, segala kritikan daripada pihak yang cuba memanipulasikan isu tersebut dengan pelbagai alasan tidak perlu diberi perhatian kerana kesan arak sangat jelas membahayakan malah turut ditegah dalam agama.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas