Berita

395 warga kota terima rumah ganti percuma

- Diterbit 20 November 2020 4:43 AM MYT

PENANTIAN 395 penduduk Perumahan Awam Seri Labuan sejak 10 tahun lalu untuk memiliki rumah yang lebih selesa akhirnya terbalas apabila menerima surat tawaran rumah baharu daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Selasa lalu.

Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar berkata, perumahan ini mula didiami sejak 1981 dan mempunyai 640 unit rumah.

“Ia dimiliki oleh DBKL dan mempunyai dua jenis iaitu rumah satu bilik yang berkeluasan kira-kira 450 kaki persegi (KPS) dengan kadar sewa RM94 sebulan.

“Satu jenis lagi mempunyai dua bilik dengan keluasan 550 kps dengan kadar sewa kira-kira RM124 sebulan,” katanya ketika ditemui Wilayahku pada Rabu.

“Saiz rumah tersebut terlalu kecil untuk didiami oleh keluarga yang besar dan ia sudah tidak praktikal untuk didiami.

Kata Rizalman, Persatuan Penduduk Perumahan Awam Seri Labuan yang mewakili penduduk telah berunding dengan pihak pemaju serta KWP dan DBKL bagi menjalankan projek tersebut dan ia berlanjutan hampir tujuh tahun.

“Antara syarat utama penduduk, mereka setuju untuk membangunkan kawasan ini tetapi tidak setuju untuk dipindahkan.

“Sekiranya kawasan itu hendak dibangunkan, mereka tidak mahu dipindahkan ke kawasan lain dan pemaju harus membina terlebih dahulu rumah mereka.

“Oleh sebab itu, rumah tersebut dibina di atas tapak padang bola sehingga mengakibatkan protes dalam kalangan golongan muda dan pihak DBKL menggantikan dua padang bola dengan jarak tidak sampai 100 meter daripada kawasan itu,” katanya.

Rizalman berkata, terdapat dua kategori pemilik rumah yang layak untuk menerima rumah di Residensi Razakmas 2 yang berharga RM198 ribu secara percuma.

“Bagi kategori pertama, seramai 395 penduduk yang telah membeli rumah asal di PA Seri Labuan dengan kadar harga RM28 ribu untuk unit yang  mempunyai dua bilik manakala satu bilik pula dibeli dengan harga RM21 ribu daripada DBKL.

“Sekiranya mereka telah melangsaikan bayaran rumah lama dengan DBKL, mereka tidak akan dikenakan sebarang bayaran dan memiliki rumah baharu secara percuma.

“Bagi yang masih mempunyai baki bayaran bulanan melalui pinjaman dengan Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan (SPWP) anak syarikat Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), mereka hanya perlu meneruskan bayaran bulanan sama seperti kadar yang telah ditetapkan sehingga selesai mengikut perjanjian,” katanya sambil menambah baki 245 penduduk yang menyewa akan dibincangkan secara lanjut dengan pihak KWP dan DBKL.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri TPr Annuar Musa kerana  elah memuktamadkan proses rundingan dan sehingga  memberikan kegembiraan kepada penduduk di sini yang telah mengharapkan rumah baharu sejak sekian lama.

“Tidak lupa jasa kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor yang memulakan cadangan pembangunan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Rizalman memberitahu, terdapat beberapa projek seumpama itu yang melibatkan PA Sri Johor, PA Sri Pulau Pinang dan PA Sri Ikan Emas yang melibatkan kira-kira 5,600 unit rumah.

“Kesemua projek pembangunan semula tersebut telah pun bermula dan jenis tawaran serta corak pembangunan adalah sama seperti ini dan ia sepatutnya siap seperti projek Razakmas 2.

“Namun sejak pertukaran kerajaan pada Mei 2018 yang lalu, kerja-kerja pembinaan telah terhenti setelah Barisan Nasional (BN) kalah.

“Sehingga kini, penduduk yang terlibat sering mengajukan persoalan terhadap masa depan projek tersebut dan saya berharap agar pihak KWP dan DBKL dapat menyegerakan pembinaan,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas