Had lokasi jual arak: Buat perbandingan inklusif

Had lokasi jual arak: Buat perbandingan inklusif

TINDAKAN Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras adalah tepat dan selari dengan peningkatan kes maut akibat pemandu mabuk.

Malah sepanjang tempoh Januari hingga Mei tahun ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sembilan kes kemalangan maut.

Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung berkata, garis panduan itu sepatutnya dilaksanakan lebih awal kerana ia bukan bersandarkan isu bangsa dan agama sebaliknya melibatkan keselamatan serta nyawa masyarakat.

“Kita ambil contoh Singapura, majoriti masyarakatnya bukan Islam tetapi kerajaan mereka melaksanakan undang-undang yang mengehadkan penjualan dan waktu pengambilan arak. Malah Australia juga sudah meletakkan waktu had untuk meminumnya.

“Apabila DBKL melaksanakan undang-undang ini, ia tepat dan sepatutnya lebih awal dilaksanakan. Alhamdulillah ‘better late than never’,” tegasnya ketika dihubungi Wilayahku.

Mengulas tentang perbandingan berhubung kerugian negara akibat garis panduan dan syarat permohonan Lesen Minuman Keras yang dikeluarkan DBKL perlu dibuat secara inklusif dan bukan semata-mata ekonomi sahaja.

Tegas Firdaus Wong Wai Hung, perbandingan perlu dibuat secara menyeluruh malah, tindakan penguatkuasaan DBKL itu bukan satu bentuk pengharaman sebaliknya hanya mengehadkan waktu dan lokasi demi kesejahteraan rakyat.

Ujar beliau, lebih merugikan negara adalah orang awam yang boleh menyumbang tiba-tiba terkorban dalam kemalangan akibat kecuaian pemandu yang mabuk.

Menyentuh perihal keagamaan, kata beliau, majoriti ajaran tidak menggalakkan pengambilan minuman keras selain terdapat yang melarang penganutnya minum air yang memabukkan.

“Apabila ada pemandu mabuk yang kemungkinan akan tercedera atau terkorban, bukan setakat nyawa orang Islam tetapi kebarangkalian ahli keluarga mereka sendiri sangat tinggi.

“Adakah mereka akan terus membantah sekiranya ahli keluarga atau kenalan yang terkorban akibat keadaan mabuk?,” soalnya kepada kelompok yang membantah.

Justeru, Firdaus Wong dengan lantang meminta bantahan dilakukan secara waras sejajar dengan hak dan kebebasan dalam negara demokratik.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua warga kota agar sama-sama mendokong usaha yang baik supaya kemajuan dan kesejahteraan dapat diimbangkan.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mengucapkan tahniah kepada DBKL atas usaha tersebut.

“Ia satu tindakan yang baik dan sepatutnya sejak dari dahulu lagi tidak dibenarkan. Alhamdulillah ini bermakna pihak berkuasa juga mengambil input dan cadangan yang dibawa rakyat.

“Terdapat merata-rata kedai yang menjual arak. Jadi, dengan terlaksananya perkara ini maka secara tidak langsung, masyarakat juga akan turut berubah ke arah lebih baik,” ujar beliau.

Bagi Presiden Pertubuhan Jalinan Martabat Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah pula, penguatkuasaan berkenaan sepatutnya dilaksanakan di seluruh negara.

Ini kerana, katanya, negara-negara luar turut mempunyai akta seumpama itu yang menghalang penggunaan alkohol secara terbuka selain mengehadkan waktu.

“Malah, di Korea Selatan juga, alkohol tidak boleh diambil pada waktu siang atau semasa bekerja dan tindakan tegas akan dikenakan kepada pesalah termasuk buang kerja,” katanya yang menyokong penuh usaha DBKL.

CATEGORIES