Berita

Orkid, bonsai jadi tarikan

MODEL Istana Sultan Abu Bakar Pekan, Pahang, turut dipamerkan pada Floria Diraja Putrajaya 2019 di
- Diterbit 30 Ogos 2019 2:41 PM MYT

FESTIVAL tumbuhan dan bunga hiasan, Royal Floria Putrajaya (RFP) 2019 yang bakal berlangsung pada 31 Ogos hingga 8 September ini bakal menampilkan keunikan serta kepelbagaian spesies bonsai dan orkid yang terdapat di Malaysia sejajar dengan temanya ‘Mother Of All Garden’.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual berkenan merasmikan festival tersebut pada Jumaat ini.

Pada majlis perasmian tersebut, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar turut akan merasmikan satu spesies orkid hibrid.

Apa yang menarik lokasi baharu festival itu yang julung-julung kali diadakan di Taman Botani, Presint 1, Putrajaya bakal memberikan satu kepuasan bagi pengunjung untuk meneroka pelbagai jenis bunga-bungaan di tapak seluas kira-kira 30 hektar itu.

Lebih menarik apabila RFP turut mempamerkan mikro bonsai dan orkid yang bersaiz kurang daripada dua inci yang dihasilkan di negara ini khusus untuk tarikan pengunjung.

Pameran selama sembilan hari itu bakal dimeriahkan dengan beberapa bahagian utama antaranya Magical Garden, Musical Garden, Royal Garden, The Magic of Bonsai & Suiseki dan Pertandingan Orkid Antarabangsa.

Menurut Pengarah Bahagian Botani Jabatan Landskap dan Taman Perbadanan Putrajaya, Mohamad Tajuddin Idris, pada tahun ini, pihaknya merekodkan penyertaan sebanyak 70 pempamer yang terdiri daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), kerajaan negeri, persatuan, komuniti, universiti, sekolah dan pihak swasta.

“Jumlah pempamer juga bertambah berbanding tahun sebelumnya yang hanya merekodkan kira-kira 40 pempamer. Daripada 70 pempamer, 40 adalah pameran di luar manakala selebihnya di bahagian dalam.

“Apa yang menarik sebanyak satu juta kuntum bunga pelbagai spesies dipamerkan untuk tatapan pengunjung dengan 500 kuntum adalah bunga orkid pelbagai jenis di samping 100 pokok bonsai,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Mohamad Tajuddin memberitahu, pengunjung juga pasti akan teruja apabila tiba di bahagian pameran model Istana Sultan Abu Bakar Pekan, Pahang.

“Ia juga sempena pemasyhuran Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah
Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini. Kehadiran pengunjung dari jauh pastinya berbaloi apabila dapat menyaksikan struktur binaan istana tersebut.

“Dibina berhampiran tasik, pempamer turut mencantikkan kawasan dengan hiasan bunga terapung berserta itik,” ujarnya yang berharap replika tersebut dikekalkan di Taman Botani supaya dapat menjadi tarikan baharu di taman berkenaan.

Tambah beliau, bagi memudahkan pengunjung hadir ke tapak festival, sebanyak 1,500 petak tempat meletakkan kenderaan disediakan dengan khidmat bas shuttle secara percuma selain orang ramai turut boleh datang ke Taman Botani melalui jalan air dengan menaiki water taxi dari jeti Kelab Tasik Putrajaya dan jeti Cruise Tasik Putrajaya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas