Berita

FRIM sedia bantu PBT urus hutan bandar

KERETA ranap akibat dihempap pokok tumbang di hadapan Muzium Negara pada 27 Mei lalu.
- Diterbit 14 Ogos 2021 2:00 AM MYT

PENANAMAN pokok di kawasan bandar terutama tepi-tepi jalan semestinya akan memberi impak selesa dan redup selain membantu keseimbangan ekosistem setempat.

Namun, ia perlulah diurus dan diselenggara dengan baik bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku, seperti beberapa kemalangan maut akibat dihempap pokok tumbang.

Menyedari keadaan yang berlaku itu, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menyatakan pihaknya bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini bagi mengurus serta berkongsi kepakaran tentang pembangunan hutan bandar.

Timbalan Ketua Pengarah Operasinya, Dr Noor Azlin Yahya berkata, pengurusan hutan bandar penting bagi mengelakkan pelbagai kesan alam atau bencana seperti pokok tumbang yang merisikokan penduduk.

Malah katanya, langkah itu juga bertujuan untuk memastikan kesimbangan dan biodiversiti di kawasan bandar tercapai.

Berkata mengenainya, beliau memberitahu, menerusi timarboris yang terdiri daripada pakar agroteknologi, pihak PBT dapat mengenal pasti jenis tumbuhan yang bersesuaian ditanam di sesuatu kawasan selain mempraktikkan penjagaan yang betul.

“FRIM ada membantu PBT yang mempunyai kawasan yang agak luas untuk ditanam atau dijadikan sebagai hutan.

“Kita amat berharap PBT dapat adakan banyak kawasan-kawasan yang baik untuk kita jadikan unsur-unsur kepada hutan di kawasan itu,” katanya menerusi Program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, baru-baru ini.

Noor Azlin berkata, pengurusan hutan bukan hanya sebagai sumber pendapatan, tetapi ia merupakan ekosistem yang sangat penting untuk penjagaan sistem ekologi.

“Sekarang kita banyak bincang mengenai perubahan iklim. Kita tahu pokok memang banyak manfaatnya kepada manusia yang mana akarnya menjadi kawasan untuk menahan banjir seperti banjir kilat.

“Jadi kita perlu melihat kepada fungsi hutan itu sendiri. Bagaimana cara untuk bawa hutan ke kawasan bandar sekali gus membawa semua manfaat ekologinya,” jelas beliau.

Pertengahan tahun ini, media melaporkan beberapa insiden maut dan kerosakan harta benda berlaku di ibu negara yang berpunca daripada ditimpa pokok tumbang.

Kejadian tersebut berlaku disebabkan beberapa kawasan di Kuala Lumpur dilanda hujan serta ribut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas