Berita

YWP sumbang bantuan mangsa COVID-19

ZAIZALNIZAM (kiri) menyampaikan sumbangan kepada adik-beradik yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19 baru-baru ini.
- Diterbit 14 Ogos 2021 2:00 AM MYT

TIGA orang adik-beradik mengakui terpaksa akur dengan ketentuan  takdir apabila kedua-dua ibu bapa kesayangan meninggal dunia akibat wabak COVID-19, baru-baru ini.

Simpati dengan kejadian menyayat hati itu, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) tampil menyampaikan sumbangan kepada adik-beradik tersebut di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk  Zaizalnizam Zainun, pihak YWP memperoleh maklumat daripada pihak sekolah anak bongsu pasangan yang meninggal dunia tersebut dan serta merta mengambil maklum hal berkenaan.

“Selain menyampaikan sedikit sumbangan kepada mangsa, pihak YWP juga tidak ketinggalan menitipkan kata-kata semangat kepada mereka agar tabah dalam menempuh kehidupan mendatang.

“Kita harap adik-beradik ini dapat meneruskan kehidupan terutama sekali dalam pendidikan dan YWP dapat terus membantu adik-beradik ini,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, jika masih memerlukan sebarang bantuan, mereka boleh berhubung terus dengan RumahPrihatin@GrandSeasons yang diilhamkan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa dan pentadbirannya, YWP.

Program RumahPrihatin@GrandSeasons merupakan satu inisiatif yang berkonsepkan hotel kebajikan untuk rakyat terkesan akibat COVID-19 khususnya kepada warga Wilayah Persekutuan seperti golongan miskin bandar dan yang menghadapi tekanan kesihatan mental.

Sementara itu, menurut kakak sulung adik-beradik tersebut, Cindy Pusputa Sari Samsukirno, 25, dia masih terkejut dengan kejadian sedih yang menimpa keluarga mereka namun berjanji akan menunaikan amanah ibu dan bapanya untuk menjaga kebajikan adik-beradiknya.

“Saya akan menjaga dan memastikan mereka berjaya dalam pelajaran. Biarpun kehidupan kami hanya cukup makan sahaja namun saya percaya hanya pelajaran sahaja yang dapat menjamin masa hadapan,” ujarnya yang menggesa masyarakat untuk memastikan diri divaksin bagi menghalang jangkitan teruk di paru-paru.

Dia yang bekerja sebagai pembantu kedai mengakui kehidupan di saat pandemik COVID-19 agak mencabar dan perit lebih-lebih lagi dia sendiri tidak dapat bekerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Gaji hanya dibayar separuh sementara suami pula baru mula bekerja setelah sekian lama duduk di rumah sejak PKP. Walau bagaimanapun saya tahu semua orang juga turut merasakan kesusahan,” ujarnya kepada Wilayahku. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas