Berita

Fadlun komited kemudi PPj capai bandar raya mampan bertaraf dunia

FADLUN (empat kanan) mengimbas cap jari perakam waktu hari pertama sebagai Presiden PPj. Turut hadir Naib-naib Presiden PPj.
- Diterbit 17 Jun 2022 4:03 AM MYT

DISIPLIN dan fokus dalam gerak kerja merupakan antara amalan penting yang perlu diberi perhatian oleh warga kerja dalam memastikan visi Perbadanan Putrajaya (PPj) sebagai bandar raya pentadbiran mampan bertaraf dunia mampu dicapai.

Menurut Presiden baharunya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, dengan adanya disiplin tersebut, maka segala penyampaian kepada komuniti dan pemegang taruh mampu disampaikan dengan cara terbaik.

“Saya mengharapkan warga PPj tetap bersemangat untuk mengekalkan penanda aras sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang cemerlang dan rujukan PBT lain di seluruh negara,” ujar beliau ketika Majlis Perbarisan Ulung Presiden Baharu PPj bertempat di Gerbang Kompleks PPj, pada Selasa.

Dalam ucapannya, Fadlun turut mengharapkan warga kerja memberi sokongan padu kepada beliau dalam mengemudi PPj sekali gus berupaya memperkasakan melalui tadbir urus dinamik dan berinovasi.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim serta seluruh warga kerja PPj di atas kepercayaan tinggi yang diberi selama ini,” ujar beliau yang turut mengimbas cap jari perakam waktu bagi memulakan hari pertama sebagai presiden baharu.

Dalam majlis tersebut, beliau turut terlibat dalam Acara Tabik Hormat dan Memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan Utama Penguat Kuasa Perbadanan Putrajaya yang melibatkan dua orang pegawai dan 30 orang anggota penguat kuasa.

Terdahulu, Fadlun dilantik sebagai Presiden merangkap Pengerusi PPj yang baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai 1 Jun 2022. Beliau menggantikan Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan.

Pelantikan beliau sebagai presiden ketujuh adalah selaras dengan perenggan 5(1)(a) Akta Perbadanan Putrajaya 1995 (Akta 536).

Sebagai rekod, Fadlun, 55, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia mempunyai 27 tahun pengalaman sebagai penjawat awam khususnya di PBT yang mana 22 tahun perkhidmatan beliau adalah di PPj.

Beliau memulakan kerjaya di PPj sebagai Pegawai Perancang Bandar dan Desa pada Mac 2000, dan jawatan terakhir beliau sebelum dilantik untuk menyandang jawatan baharu ini adalah Naib Presiden Kanan (Perkhidmatan Korporat), PPj. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas