Berita

Penduduk gesa projek disegerakan

PEMBANGUNAN semula flat dan rumah teres Kampung Sungai Baru bakal menjadi pemangkin kepada kerajaan dan pemodenan Kampung Baru.
- Diterbit 17 Jun 2022 4:14 AM MYT

PROJEK Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru perlu dilaksanakan segera dan tidak wajar disekat memandangkan sudah 89 peratus penduduk terlibat telah menyatakan persetujuan untuk mempercepatkan proses pengambilan tanah bagi tujuan itu.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru (PKPHKSB), Zulfakar Wahid berkata tanah di kawasan itu telah diwartakan untuk tujuan tersebut dan kira-kira 291 pemilik yang telah bersetuju dan menurunkan tandatangan bagi projek pembangunan semula kawasan tersebut.

“Pewartaan diperoleh sejak Jun 2021, kerajaan yang luluskan warta ini jadi sepatutnya kerajaan tak perlu sekat. Kami (persatuan) tidak cakap banyak kerana perundangan memihak kepada kita, kerana kita sudah ada majoriti dan ada warta (ambil tanah).

“Tiada benda yang mahu dibangkitkan lagi. Jika perundangan tersebut pun kita tak boleh nak ikut, apa lagi yang boleh dibuat,” katanya pada sidang akhbar bersama pemaju, Ritzy Glosss Sdn Bhd pada Selasa.

ZULFAKAR (tiga dari kiri) bersama AJK Persatuan Kebajikan Penduduk Hartanah Kampung Sungai Baru mahu pembangunan perumahan itu diteruskan untuk kemudahan semua pihak.

Jelas Zulfakar, penduduk berharap projek tersebut dapat dilaksanakan bagi membolehkan mereka yang telah mengosongkan unit sejak lima tahun lalu dapat kembali semula ke rumah baharu di Kampung Sungai Baru.

“Bagi penduduk yang telah lima tahun meninggalkan Kampung Baru, tidak wajar projek itu ditangguhkan lagi hanya disebabkan 11 peratus atau 37 pemilik rumah teres yang mewakili kumpulan minoriti membantah proses pengambilan tanah tersebut,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dapat membantu menyelesaikan isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru itu bagi membolehkan hasrat mereka berpindah ke rumah baharu terlaksana.

“Beliau (Shahidan) yang ada kuasa tentukan projek ini boleh dijalankan atau sebaliknya. Kita rasa tak patut, hanya disebabkan 37 pemilik yang tidak setuju, 291 yang setuju berdepan masalah penangguhan projek.

“Harap Menteri Wilayah Persekutuan boleh bantu fikirkan cara supaya projek ini dapat dijalankan. Ada antara orang lama dah meninggal dunia, saya kecewa kerana sepatutnya perkara ini boleh diselesaikan dalam masa tiga tahun tapi sekarang sudah masuk tahun kelima, malangnya ia tidak selesai lagi.

“Kami harap dapat pulang semula ke Kampung Sungai Baru, yang melambatkan projek bukan pemaju tetapi orang yang tidak setuju dan ia melibatkan 37 pemilik unit yang belum terima pendengaran kedua,” katanya.

Zulfakar turut menegur ahli politik terutama bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad serta bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir agar tidak mencampuri sebarang urusan yang berkaitan dengan pembangunan di kawasan itu kerana tindakan mereka akan mengeruhkan lagi keadaan.

“Mereka sepatutnya bertemu juga dengan majoriti penduduk yang telah bersetuju dengan projek tersebut, malangnya ia tidak berlaku dan hanya berada di belakang pihak minoriti sahaja,” katanya.

Sementara itu, bagi Hamidah Esa, 75, menzahirkan harapan yang amat tinggi untuk kembali semula dan menetap di Kampung Sungai Baru di bawah rumah baharu yang lebih selesa berbanding rumah flat yang didiaminya sejak 40 tahun lalu.

“Saya sedih kerana sudah masuk lima tahun menetap di rumah transit yang disediakan pemaju. Dari sihat kini telah jatuh sakit dan rumah pula sudah sangat uzur serta sudah tidak sesuai untuk didiami.

“Mak cik merayu kepada menteri untuk tolong semua supaya projek ini dipercepatkan. Mudah-mudahan hasrat untuk pulang ke Kampung Sungai Baru tercapai sebelum meninggal dunia,” katanya.

Pada Ahad, penduduk yang membantah pembangunan semula Projek Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini menggesa campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menghentikan pihak pemaju daripada mengambil tanah mereka yang turut dihadiri Khalid.

Ahli Parlimen Shah Alam itu akan membuat laporan polis dan menghantar surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat kerana mendakwa ada projek berkenaan mempunyai unsur rasuah. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas