Berita

Enggan ulang kesilapan lalu, Ayu Damit muncul dengan Permata

|AYU Damit muncul dengan lagu Permata
- Diterbit 4 Februari 2021 11:17 PM MYT

AKHIRNYA rindu peminat terubat apabila pemenang tempat ketiga Gegar Vaganza  musim ketujuh (GV7) pada 2020, Ayu Damit muncul dengan lagu Permata.

Jika sebelum ini, Ayu atau nama sebenarnya Norayu Damit dilihat tidak konsisten dalam bidang seni suara, biarpun pernah dinobatkan sebagai juara untuk program realiti On In A Million (OIAM) musim kedua, pada 2007.

Enggan mengulangi kesilapan lalu, Ayu mahu menjadikan penampilannya dalam GV7 sebagai permulaan untuknya kembali aktif sebagai penyanyi seiring dengan rakan-rakan lain.

Sebagai permulaan, Ayu kini muncul dengan lagu bergenre balada, Permata ciptaan Mohd. Atlas bersama Zimi Sofazr. 

“Ayu tertarik bila tengok liriknya yang banyak maksud tersirat. Lagu ini khas untuk pasangan suami isteri. 

“Kalau untuk Ayu, suami, Syed Fauzi Syed Baharuddin yang jadi tulang belakang kepada perjuangan dalam lirik lagu itu semua ada maksudnya,” kata Ayu yang sebelum ini popular dengan lagu Hanya Di Mercu.

Bagaimanapun, Ayu menjelaskan hasratnya mahu muncul dengan video muzik Permata tidak kesampaian apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Kalau ikutkan, lepas rakaman lagu dalam studio nak buat video muzik, dah siap rancang semua tapi PKP tak boleh nak shoot. Jadi akan keluar video lirik dulu,” jelasnya lagi.

Tambah Ayu, walaupun tidak berpeluang menjalani penggambaran video muzik lagu Permata, namun video lirik telah dikeluarkan dulu sebelum menunggu waktu yang sesuai untuk penggambaran.

Kata Ayu, beliau sudah merancang jalan cerita untuk video muzik tersebut, di mana dua orang model akan ditampilkan untuk berlakon sebagai pasangan suami isteri.

“Kalau Ayu yang berlakon video muzik, nanti kaku jadinya. Biarlah Ayu nyanyi saja dan bagi orang lain yang berlakon. Kita dah rancang jalan cerita tapi buat masa sekarang tak boleh buat penggambaran,” ujarnya yang berharap Permata akan mengingatkan orang ramai tentang kehadirannya dalam bidang seni suara.

AYU Damit muncul dengan lagu Permata

Katanya, salah satu sebab kenapa beliau menyertai GV7 adalah untuk kembali aktif dalam bidang seni suara tanpa menyerah kalah.  

“Bila dah masuk GV7, itu adalah pentas untuk Ayu keluar balik dalam industri bila orang dah lama tak tengok Ayu. 

“Bila lepas GV dan keluarkan produk, itu satu promosi yang bagus. Sekurang-kurangnya, peminat tidak akan melupakan kita sebaik saja program itu tamat.

“Ayu harap perkara ini berkekalan dan Ayu akan teruskan lagi perjuangan dalam bidang seni. Kalau dulu, Ayu berfikiran, kita buat lagu tapi tak main pun kat radio, dan cepat putus asa.

“Sekarang ini, follower pun dah ada, Ayu rasa peminat pun dah nampak balik kehadiran Ayu dan kena teruskan perjuanganlah, tak boleh nak give up seperti dulu,” katanya bersungguh.

Jangan lupa tonton video lirik Permata di YouTube Saudagar Seni Media.

Semoga Ayu Damit terus sukses ya! – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas