Berita

PKP: KHM harap Liga Hoki Malaysia boleh dianjurkan

- Diterbit 4 Februari 2021 3:48 PM MYT

KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) berharap kerajaan akan meluluskan permohonan kelonggaran sektor sukan dan rekreasi dalam tempoh pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membolehkan penganjuran saingan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2021.

Presiden KHM Datuk Seri Subahan Kamal berkata kejohanan itu akan memainkan peranan cukup penting kepada pasukan senior kebangsaan serta skuad Projek Khas Lelaki dan Wanita kerana penganjuran liga tersebut merupakan antara platform untuk pemain mendapatkan sentuhan perlawanan.

Beliau berkata TNB MHL 2021 turut dijadikan sebagai persediaan kepada pasukan negara sebelum menghadapi perlawanan akan datang terutamanya kejohanan antarabangsa.

“Penganjuran TNB MHL 2021 juga tentunya akan memberi impak kepada arena hoki di Malaysia dari sudut kelangsungan ekonomi pemain serta kepercayaan pihak penaja untuk terus menghulurkan penajaan dan tentunya akan membantu merancakkan perjalanan sukan hoki di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, KHM terpaksa menunda kejohanan TNB MHL 2021 yang dijadual bermula pada 14 Jan ke Julai atau Ogos depan, selaras dengan pengumuman dibuat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pelaksanaan semula PKP bermula 13 hingga 26 Jan lepas.

Mengulas lanjut, Subahan berkata pihaknya akan memastikan setiap prosedur operasi standard (SOP) yang bakal dikeluarkan selepas mendapat kelulusan pihak kerajaan akan dipatuhi sepenuhnya ketika penganjuran TNB MHL 2021.

Beliau berharap semua pihak akan bersama-sama menunjukkan tahap disiplin tinggi untuk mengikuti segala SOP serta ketetapan yang bakal dibuat supaya kelulusan diberikan kerajaan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesihatan dan juga kelangsungan sukan hoki di negara ini.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini membentangkan cadangan dan SOP bagi kelonggaran sektor sukan dan rekreasi khususnya berkaitan aktiviti sukan luar, gimnasium dalam kawasan kejiranan serta aktiviti tidak membabitkan sentuhan serta tanpa kehadiran orang ramai.

Antara dibentangkan oleh KBS adalah SOP latihan atlet secara quarantine-based approach (program latihan berpusat secara tertutup dan terkawal) serta SOP kejohanan industri sukan berimpak tinggi seperti liga bola sepak, liga hoki dan liga sepak takraw mengikut model gelembung sukan.

“KHM menyokong penuh dan menyambut baik usaha yang dilakukan oleh KBS menerusi Menteri Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang membentangkan permohonan kelonggaran bagi sektor sukan dan rekreasi dalam tempoh PKP 2.0.

“KHM dalam masa sama juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas keprihatinan beliau untuk mendengar dan meneliti cadangan dibentangkan oleh KBS yang tentunya memberi kelegaan kepada penggiat sukan negara sekiranya cadangan tersebut diluluskan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas