Berita

Iftar@KL bakal meriahkan ibu kota

Mohd Yusri (lima dari kanan) dan Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop (empat dari kanan) bergambar bersama waris dan penggiat seni selepas menyerahkan buku Mek Mulung pada Majlis Serlahan Seni Budaya JKKN 2023 di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.
- Diterbit 3 Mac 2023 4:03 AM MYT

SEMPENA pelancaran Kalendar Seni Budaya 2023, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bakal menganjurkan pelbagai program menarik di seluruh negara sepanjang tahun ini termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang juga bakal menjadi tumpuan.

Terdapat 11 Program Pelancongan Seni Budaya akan dilaksanakan oleh JKKN di seluruh negara dan antara program yang bakal memeriahkan Ibu Kota Kuala Lumpur adalah Iftar@Kuala Lumpur pada 8, 9, 15 dan 16 April serta akan menganjurkan kembali Festival Permainan Malaysia di Taman Tasik
Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 15 hingga 17 September.

Timbalan Ketua Setiausaha (kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohd Yusri Mohd Yusoff berkata pelaksanaan program tersebut adalah berasaskan lima teras program utama di bawah Pelan Strategik JKKN 2021-2025 iaitu asuhan kemahiran seni; pemuliharaan seni budaya; Jangkauan Seni Budaya (JSB); pengukuhan seni dan budaya serta jaringan kerjasama kebudayaan.

“Program ini secara tidak langsung dapat mendekatkan masyarakat dengan aktiviti seni budaya dalam norma baharu di samping memberi peluang kepada penggiat seni budaya menjana pendapatan,”
katanya pada sesi Sidang Media Majlis Serlahan Seni Budaya JKKN 2023 di Menara Kuala Lumpur, pada 23 Februari (Khamis).

Menurutnya, selain dua program itu, JKKN juga akan melaksanakan pelbagai program seni budaya laindi seluruh negara antaranya Pesta Angin Timur Perlis (3 hingga 5 Mac); Pesta Angin Timur Perlis (3
hingga 5 Mac); Festival Kesenian Orang Asal Antarabangsa (FKOAA) pada 13 hingga 15 Oktober;
Keretapi Sarong (16 September); Festival Seni Hidup (20 hingga 22 Oktober); Rhythms Of Kinabalu (ROK) 2023 (27 hingga 29 Oktober) dan Festival Gendang Sarawak (3 hingga 5 November).

Pada majlis itu, JKKN turut melancarkan Buku Mek Mulung ‘Bangkitnya Warisan TurunTemurun/A Heritage Rediscovered’ yang merupakan penerbitan eksklusif JKKN dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) melalui Konservatori Muzik, Kolej Pengajian Seni Kreatif dan Penerbit UiTM.

“Buku ini merupakan usaha mengangkat seni persembahan tradisional Mek Mulung ke peringkat antarabangsa dan ia diterbitkan dalam dwibahasa dengan kandungan Augmented Reality (AR) dan buku audio dalam versi bahasa Inggeris beserta CD lagu-lagu Mek Mulung.

“Diharapkan agar Buku Mek Mulung ini akan membantu proses pengiktirafan daripada institusi antarabangsa seperti UNESCO serta memperluas kesedaran komuniti setempat bagi mengekalkan kelestarian Mek Mulung yang berpanjangan selain berdoa agar 2023 menjadi tahun yang lebih progresif untuk kita semua memulihkan semula ekonomi negara menerusi Industri Pelancongan, Seni dan Budaya,” jelasnya. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas