Berita

Empat hotel jadi pusat kuarantin untuk B40 di KL

WARGA Projek Perumahan Rakyat(PPR) dan Perumahan Awam(PA) menyambut baik inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) mewujudkan PKRCS khas secara percuma di empat hotel sekitar Kuala Lumpur yang telah bermula 26 Julai lalu. PKRCS khas melibatkan empat tempat yang menempatkan pesakit covid-19 dalam kategori 1 dan 2 yang menjalani kuarantin kendiri. Gambar: FreeMalaysiatoday
- Diterbit 26 Julai 2021 10:59 AM MYT

EMPAT PKRCS Khas dibuka untuk menempatkan warga PPR dan PA DBKL yang didapati positif COVID-19 tidak bergejala (kategori 1) dan bergejala ringan (kategori 2) mulai hari ini.

PKRCS yang terlibat adalah Hotel Royal Chulan, Jalan Conlay, International Youth Center, Bandar Tun Razak, Cheras, Tamu Hotel Kampong Bharu dan Hotel Travelodge City Centre, Kuala Lumpur.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah Swasta (PKRCS) itu dibuka setelah mendapati ramai keluarga dalam kalangan B40 di PPR dan PA DBKL mengalami kesukaran untuk menjalani kuarantin kendiri di kediaman masing-masing.

“Mereka (keluarga B40) mendiami rumah yang sempit dan sesak yang mana ianya tidak sesuai untuk menjalani kuarantin kendiri bahkan mereka juga tidak mampu untuk ke PKRCS berbayar,” jelas beliau.

Menurutnya, mesyuarat CCMC-WP telah memutuskan untuk memindahkan dan menempatkan sebilangan mereka yang positif dalam kategori berkenaan ke beberapa hotel yang dikhususkan bagi mengelakkan jangkitan dalam kalangan keluarga.

Dalam pada itu, operasi memindahkan kira-kira seribu golongan terbabit yang bermula hari ini mendapat kerjasama daripada Covid Assesment Centre (CAC), Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL) dan beberapa agensi/Jabatan kerajaan yang berkaitan.

“Kementerian sedang berusaha untuk menyediakan lebih banyak kemudahan pusat rawatan COVID-19 di Wilayah Persekutuan bagi membantu golongan yang menghadapi masalah kuarantin kendiri,” tambahnya.

Beliau berharap agar tindakan ini dapat membantu golongan yang tidak berkemampuan untuk mengelakkan peningkatan kes positif yang berpunca daripada kontak rapat dalam kalangan ahli keluarga. – WILAYAHKU- HAZIRAH HALIM

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas