Berita

PPIM santuni pemandu teksi KLIA

ANTARA wakil yang terlibat sewaktu program Agihan Sumbangan Infaq Rezeki yang menyantuni pemandu teksi KLIA pada Sabtu lalu. ANTARA wakil yang terlibat sewaktu program Agihan Sumbangan Infaq Rezeki yang menyantuni pemandu teksi KLIA pada Sabtu lalu.
- Diterbit 26 Julai 2021 10:32 AM MYT

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah berkolaborasi bersama beberapa organisasi dalam Agihan Sumbangan Infaq Rezeki bagi menyantuni pemandu teksi Kuala Lumpur International Airport (KLIA) pada Sabtu lalu.

Menurut kenyataan PPIM, menyedari ramai yang terkesan akibat pandemik ini, PPIM di bawah seliaan Unit Kebajikan PPIM (UKPPIM), PERKESO, KINGZ Motorcycle Group, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWIP), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd dan Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) berkolaborasi memberikan sumbangan bagi meringankan ujian mereka yang terkesan.

“Sebanyak 200 penerima manfaat INFAQ REZEKI Bernilai RM16,000 yang terkesan pandemik COVID-19.

“Agihan ini turut melibatkan jalinan kerjasama dan tajaan beberapa organisasi seperti sumbangan.com (Gerbang Sumbangan Sdn Bhd), Yayasan PATRIOT Negara Malaysia (YPNM), Icon Production Sdn Bhd dan SATRIA Intelligence Agency Sdn Bhd,” jelas kenyataan tersebut.

Pengerusi PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata sumbangan tersebut diberikan berdasarkan maklum balas yang diterima dari penyelaras dan turut melibatkan beberapa organisasi, penaja dan penyumbang berganding bahu bagi menyalurkan bantuan.

“Berdasarkan maklum balas yang kami terima dari penyelaras, pemandu teksi juga merupakan golongan yang tidak terkecuali berhadapan saat getir ini. Mereka sangat memerlukan sumbangan bantuan dengan kadar segera terutama bagi mereka yang merupakan golongan asnaf dan B40.

“Kami dengan ini berusaha bersama-sama menguruskan untuk menghantar bantuan sumbangan dan beberapa keperluan pada tarikh yang dinyatakan di atas,” jelasnya.

Manakala Ketua Operasi Unit Kebajikan PPIM, Siti Khadijah Hassan Berseri berkata tujuan menyantuni pemandu teksi adalah supaya mereka tidak berasa dipinggirkan.

“Kami mahu pemandu teksi dan penerima manfaat yang disantuni merasakan ada yang masih peduli dan sayang kepada mereka. Bentuk bantuan yang diberikan adalah berupa Barangan Asas Keperluan Dapur,” katanya.

Tambahnya lagi setakat ini sebanyak lebih 100 ribu penerima manfaat Infaq Rezeki telah disalurkan dan sentiasa membuka ruang kepada mereka yang ingin bersama-sama dalam Misi Bantuan Infaq Rezeki.

Dalam pada itu, PPIM turut berharap agar lebih ramai pihak yang akan terlibat dan jelasnya lagi dana bagi gerak kerja ini juga dikumpulkan melalui sumbangan orang ramai yang menggunakan platform atas talian iaitu sumbangan.com. -WILAYAHKU- DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas

BERITA SEMASA