Lensa

Duta kecil Kuala Lumpur

- Diterbit 12 Januari 2024 4:58 PM MYT

Oleh SYUQQREE DAIN
Video oleh HASIF HALIMI

HANYA berbekalkan alat optik dan sebuah telefon pintar untuk menghasilkan imej, komuniti jurugambar jalanan yang menggelarkan diri mereka sebagai Fotografi Jalanan Malaysia (FJM) kreatif menghasilkan gambar sejak 13 tahun lalu.

Kehadiran mereka di lokasi tumpuan sekitar Kuala Lumpur khususnya di Pasar Seni, Jalan Petaling, Pasar Karat dan Jalan Tunku Abdul Rahman pada hujung minggu sudah tidak asing lagi.

Pengasas FJM, Afzan Abdullah, 47, berkata pada awal penglibatannya dalam dunia fotografi, dia kerap berlegar di sekitar ibu kota sambil memegang kamera sambil mengabadikan ragam manusia di jalanan.

Jelasnya, titik mulanya melibatkan diri dalam dunia fotografi jalanan ketika menyaksikan sekumpulan pelancong yang ingin mengambil gambar bersama Menara Berkembar Petronas. Pelbagai aksi mencuit hati membuatkannya terdetik untuk merakam momen jalanan seperti itu.

“Bermula dari situlah saya mula mempelajari teknikal kamera dan cara penggunaan lensa sendiri selama lebih setahun kerana tiada tempat untuk dirujuk.

“Objektif utama penubuhan FJM agar lebih ramai yang mengenali genre fotografi jalanan sekali gus tidak meminggirkannya kerana lazimnya mereka yang mahu ‘bermain’ kamera sudah pasti akan bermula dengan gambar jalanan,” kongsinya.

Dia yang menetap di Nilai berkata pemilihan Kuala Lumpur sebagai subjek utamanya kerana ibu kota yang sentiasa sibuk itu mempunyai banyak kisah yang boleh didokumentasikan.

Bercerita mengenai gambar paling bermakna yang pernah dirakamkan, Afzan berkata sekeping foto yang menggambarkan dua darjat hasil bidikan kameranya pernah tular sekitar tahun 2008 hingga 2009.

“Terdapat sebuah kereta mewah melalui Jalan Petaling sambil seorang gelandangan sedang meminta sedekah. Gambar itu membawa makna yang berharga.

“Saya pernah dijemput untuk mengadakan bengkel fotografi di beberapa negara luar seperti Brunei pada tahun 2010, Singapura dan yang paling jauh di India dan Mesir. Ketika itu hanya negara luar yang boleh menerima bakat saya,” ujarnya yang berkesempatan menjadi juri di beberapa pertandingan fotografi terkemuka dunia antaranya GR Photo Festival 2023 pada hujung tahun lalu.

“Selepas hampir 15 tahun berkecimpung dalam dunia ini, saya harap lebih ramai lagi yang akan menerokai genre ini kerana bagi saya jurufoto jalanan adalah duta kecil yang memberi sumbangan dalam memperkenalkan tempat menarik dalam negara kepada pelancong luar,” ujarnya berharap seni ini diberi perhatian oleh pihak sepatutnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas