Berita

Dunia persahabatan dalam Cilili dan Momoto

|
- Diterbit 11 Mac 2021 6:38 AM MYT

PADA tahun 2019, watak cili dan tomato yang menghiasi kulit buku bergambar kanak-kanak bertajuk Cilili dan Momoto terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka menjadi sebutan di bibir para sahabat.

Tambahan pula, cerita ini dikarang dengan ayat-ayat yang berirama pada sesetengah halaman. Lalu, cerita dapat diolah menjadi sebuah irama lagu yang boleh dinyanyikan ketika menyampaikan persembahan bercerita kepada kanak-kanak.

Cilili dan Momoto mengisahkan sahabat baik dalam kalangan sayur-sayuran yang disuntik dengan elemen personafikasi. Watak-watak yang ditampilkan mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing.

Cilili iaitu cili mempunyai suara yang merdu. Nyanyiannya mendapat pujian daripada rakan-rakannya.

Sebaliknya yang terjadi kepada Momoto iaitu tomato yang pandai bermain gitar tetapi mempunyai suara yang sumbang. Momoto dihimpit dengan perasaan cemburu apabila melihat sahabat baiknya disanjung oleh rakan-rakan. Lalu, Momoto cuba untuk menyanyi tetapi suaranya sumbang.

Nasibnya malang apabila Momoto diejek oleh rakan-rakannya. Sebagai sahabat yang baik, Cilili memujuk Momoto agar yakin dengan kebolehan yang dimiliki iaitu pandai bermain alat muzik. Cilili juga menasihatkan rakan-rakannya agar saling menghormati antara satu sama lain.

Begitulah yang ingin disampaikan melalu perwatakan setiap watak yang terdapat dalam buku Cilili dan Momoto.

Kekuatan dalam sesebuah persahabatan amat penting kepada kanak-kanak dalam membina hubungan baik sesama masyarakat.

Melalui pembacaan buku khususnya buku bergambar kanak-kanak yang menampilkan berbagai-bagai nilai murni dan pengajaran ini dapat membantu kanak-kanak membangunkan jati diri yang baik sejak kecil lagi.

Cerita yang ditampilkan dalam Cilili dan Momoto dapat memberikan pengaruh baik kepada minda dan tumbesaran kanak-kanak.
Hal ini dapat dilihat melalui beberapa kelebihan yang dapat digambarkan dalam Cilili dan Momoto.

Kelebihan pertama ialah cerita yang dikarang dapat memberikan idea kepada kanak-kanak tentang nilai murni, kepercayaan dan budaya hidup bermasyarakat. Persahabatan akrab antara Cilili dan Momoto boleh dijadikan contoh nilai murni kepada pembaca khususnya kanak-kanak.

Cilili tidak meninggalkan Momoto apabila sahabatnya itu kesedihan. Cilili memujuk dan memberikan nasihat agar sahabatnya kembali ceria.

Nilai persahabatan dalam buku kanak-kanak menjadi salah satu tema dalam karya kreatif yang digunakan di seluruh dunia. Hal ini kerana selain daripada ibu, bapa dan adik-beradik, sahabat juga merupakan insan terdekat yang ada dalam persekitaran kita.

Kanak-kanak berpeluang memahami kehidupan sebenar berdasarkan penceritaan yang ditonjolkan dalam Cilili dan Momoto.Kehidupan sebenar yang dimaksudkan adalah tentang kelebihan dan kelemahan yang terdapat dalam diri.

Cilili dan Momoto menjadi wakil kepada watak-watak manusia apabila kelemahan Momoto yang tidak boleh menyanyi dijadikan sebagai satu pengajaran agar kanak-kanak harus menghargai setiap bakat yang ada dalam diri.

Walaupun Momoto tidak pandai menyanyi tetapi Momoto boleh bermain gitar dengan baik. Nyanyian Cilili akan menjadi lebih sedap didengar apabila diiring muzik daripada petikan gitar sahabatnya.

Seterusnya, kelemahan yang dirasakan Momoto itu sebenarnya merupakan satu kekuatan yang akan saling melengkapi dalam kehidupan.
Kanak-kanak juga dapat belajar tentang budaya hidup dalam masyarakat melalui kisah Cilili dan Momoto. Misalnya, pada halaman 28 dan 29 digambarkan sahabat sayur-sayuran ini saling bergembira ketika memujuk Momoto.

Melalui gambaran ini kanak-kanak dapat melihat bahawa budaya dan nilai kedamaian amat penting dalam hidup bermasyarakat.

Selain itu, buku bergambar kanak-kanak ini juga dapat meningkatkan daya pemikiran kreatif kanak-kanak.
Mereka dapat menggunakan daya imaginasi untuk diadaptasikan dalam kehidupan sebenar. Ilustrasi dan penggunaan warna yang menarik mampu membangkitkan rasa ingin tahu kanak-kanak tentang watak-watak yang dibaca.

Hal ini membantu kanak-kanak mengenal jenis sayur-sayuran melalui pembelajaran mereka daripada buku Cilili dan Momoto. Kanak-kanak juga dapat belajar mengenal dan merasai nilai sentimental melalui buku ini dibantu oleh lukisan ilustrasi yang unik dan berkesan.

Melalui maklum balas daripada pembaca, mereka memberitahu bahawa anak-anak mereka akan sama-sama berair mata apabila melihat Momoto menangis di celah batu. Kesan emosi ini boleh menyuntik semangat kepada kanak-kanak agar dapat mengambil pengajaran daripada cerita yang disampaikan.

Kesimpulannya, buku Cilili dan Momoto ini memberikan satu pengalaman menarik ketika membacanya. Banyak nilai dan pengajaran dapat diperoleh pembaca sama ada pembaca dewasa mahu pun kanak-kanak. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas