Berita

Tabung Haji tunggu makluman rasmi dari kerajaan Arab Saudi berkaitan kuota haji

Tabung Haji media conference at Kuala Lumpur
- Diterbit 11 Mac 2021 5:58 AM MYT

LEMBAGA Tabung Haji (TH) menunggu makluman rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berhubung tambahan kuota rasmi haji yang dijangka akan dimaklumkan Riyadh sekitar Ramadan April nanti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata sementara menunggu makluman tersebut, TH akan membuat pelbagai persediaan yang sepatutnya bagi mempersiap bakal jemaah haji sebelum bertolak ke Makkah.

“Saya yakin insya-Allah sekitar Ramadan akan dapat tahu. Walaupun ia waktu yang singkat untuk membuat persediaan, tapi TH akan ambil secara positif untuk membuat persediaan mengikut kadar kemampuannya selain bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah dihadapi bakal jemaah haji.

“Kita tunggu mereka (Arab Saudi) yang pastinya telah mengambil kira aspek kesihatan, keamanan dan keselamatan yang menjadi agenda utama (sewaktu menunaikan ibadah) dan bukannya sekadar penyediaan tempat tetapi jemaah haji itu sendiri,” katanya selepas menyerahkan sumbangan komputer riba kepada pelajar asnaf UTM Perak di Dewan Besar Tabung Haji, hari ini.

Malaysia mendapat tambahan kuota rasmi haji sebanyak 10,000 lagi yang akan dilaksanakan selepas keadaan wabak COVID-19 terkawal dan ibadah itu dibuka semula dan menurut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, perkara itu dipersetujui oleh Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud dalam satu pertemuan pada Selasa di Riyadh (Rabu di Malaysia). – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas