Berita

Dulu teman gaduh, kini A’dale sah suami Dayana Roza

DAYANA Roza kini sah bergelar isteri kepada A'dale Adham
- Diterbit 25 Disember 2020 3:04 AM MYT

PELAKON Dayana Roza,29, kini sah bergelar isteri kepada usahawan, A’dale Adham Ayahudin, 33, kira kira jam 8.57 pagi tadi, dengan hanya sekali lafaz.

Majlis yang berlangsung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) diadakan di Masjid Negara dihadiri sekitar 30 orang di kalangan ahli keluarga terdekat dan teman rapat.

Pasangan ini dinikahkan bapa Dayana, Kamsum Baharin Kassim dan disaksikan Imam masjid berkenaan, Ustaz Muhammad Afif Jamal.

A’dale menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang, pada majlis itu. Mas kahwin pula diberi dalam bentuk gelang tangan bernilai RM2000. Manakala wang hantaran dirahsiakan.

“Alhamdulillah terpateri sudah ikatan yang sah antara kami. Sepatutnya kami nikah pada 12 Disember lalu. Kita hanya merancang. 

“Di sebalik ujian pandemik COVID 19 ini yang membataskan banyak perkara, kami dapat melangsungkan yang wajib dulu dan dilangsungkan pagi ini.

“Kami cuba mempercepatkan majlis nikah ini seperti yang dirancang kerana datuk A’dale sudah tua dan sakit. Cuma datuknya tak sihat dan tak dapat tengok majlis akad nikah.

“Insya Allah kalau tiada aral melintang majlis resepsi akan dibuat 1O Januari depan juga di ibu kota. Cuma sejurus selepas majlis nikah ada sedikit keraian diadakan di sebuah premis acara di ibu kota,” kata Dayana.

Pasangan ini dinikahkan bapa Dayana, Kamsum Baharin Kassim dan disaksikan Imam masjid berkenaan, Ustaz Muhammad Afif Jamal.

Menurut Dayana atau nama sebenarnya, Nur Dayana Kamsun Baharin, tidak menyangka teman gaduh akhirnya menjadi suaminya.

“A’dale pernah menyuarakan hasrat melamar saya sekitar empat tahun lalu. Tetapi, saya menolak lamaran itu. Tak sangka, hasratnya kini menjadi kenyataan. Dia sanggup menunggu lama. Jodoh kuat antara kami.

“Sebelum ini memang kami berkawan rapat dan sering lepak bersama. A’dale juga teman gaduh dan paling suka menyakat saya. Tak sangka, jodoh depan mata, tak pernah sedar selama ini.

“Saya sukakan A’dale kerana dia pandai mengambil hati ibu sepanjang kami berkawan,” katanya yang mahukan anak secepat mungkin. 

Sementara itu, A’dale menyifatkan Dayana seorang yang lasak dan sekepala dengannya.

Pasangan yang bakal berbulan madu di Pulau Langkawi ini terlebih dulu melangsungkan pertunangan pada 5 Ogos lalu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas