Berita

Sinar Selawat tanda syukur kehadiran Fatima – Fattah Amin

Fazura
- Diterbit 24 Disember 2020 10:30 PM MYT

SELEBRITI popular Fattah Amin menganggap kehadiran anak sulungnya Nur Fatima Aisya pada 2 Oktober lalu, adalah satu anugerah terindah buat dirinya dan isteri, Fazura.

Menzahirkan kesyukuran atas hadiah paling berharga dalam hidupnya dan isteri, Fattah yang terlebih dahulu muncul dengan single kerohanian, Kiriman Agung menghadirkan sebuah lagi single istmewa iaitu Sinar Selawat

Jika Kiriman Agung menjadi doa dan harapannya ketika menanti kedatangan cahaya mata sebagai penyeri hidupnya, Sinar Selawat pula menjadi simbolik penghargaan dan tanda kesyukuran Fattah selepas bergelar bapa.

Fattah berkata, Sinar Selawat ciptaan komposer terkenal, Hafiz Hamidun serta penulis lirik, Ahmad Fedtri Yahya menterjemahkan kisah bahagianya selepas bergelar bapa.

“Sinar Selawat menterjemahkan suara hati dan perasaan bersyukur saya apabila dikurniakan Allah SWT dengan anugerah terindah dalam hidup iaitu zuriat.

“Seperti pasangan lain, saya dan isteri juga mendambakan kehadiran cahaya mata sebagai pelengkap kehidupan rumah tangga kami berdua. 

“Alhamdulillah, penantian dan doa kami selama ini terjawab dengan kehadiran Nur Fatima Aisya pada 2 Oktober lalu.

“Momen itu terlalu bermakna dan ia menjadi kenangan paling manis buat saya serta isteri. 

“Kemanisan itu lebih dirasai apabila kehadiran permata hati saya itu  turut diraikan dengan iringan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Sepanjang proses rakaman lagu ini, Fattah akui hatinya begitu tersentuh dengan bait-baik lirik yang mengisahkan kehidupannya. 

“Sebagai penulis lirik berpengalaman, Ahmad Fedtri begitu memahami, malah berjaya menyelami segala yang terpendam dan terbuku di sudut hati saya ketika menempuh perjalanan untuk menjadi seorang bapa.

“Dia juga berjaya menterjemahkan perasaan bertuah dan terharu saya apabila diberikan Allah SWT peluang berharga untuk menikmati setiap momen istimewa yang mengubah seluruh kehidupan saya sejak kelahiran Nur Fatima Aisya. 

“Setiap bait menyimpan makna yang tersendiri dan ia menjadi lebih indah apabila diselitkan dengan puji-pujian terhadap Allah SWT serta selawat sebagai simbolik kesyukuran saya meraikan kehadiran zuriat pertama dalam hidup,” katanya.

FATIMA membawa sinar baru dalam hidup Fattah dan isterinya, Fazura

Sementara itu, Hafiz Hamidun sebagai komposer berkata, peluang bekerjasama dengan Fattah ketika rakaman lagu Kiriman Agung dahulu memudahkan dia memahami apa yang dimahukan jejaka itu dalam menghasilkan Sinar Selawat.

“Menerusi Sinar Selawat, saya cuba menterjemahkan perasaan syukur dan terharu pasangan itu apabila doa mereka untuk menimang cahaya mata dimakbulkan Allah SWT,” katanya.

Manakala Ahmad Fedtri pula menjelaskan dirinya menyelami perasaan serta rasa syukur Fattah setelah bergelar bapa.

“Saya cuba menggambarkan perasaan terharu dan syukur mereka apabila impian menimang cahaya mata menjadi kenyataan.

“Kehadiran permata berharga dalam hidup mereka itu saya terjemahkan sebagai Sinar, manakala Selawat pula dialunkan untuk mengiringi permulaan perjalanan hidup insan yang begitu mereka dinanti-nantikan,” katanya.

Diterbitkan Universal Music Malaysia, Sinar Selawat telah dilancarkan di semua platform digital bermula 11 Disember lalu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas