Selebriti

Dulu ‘kuku besi’, sekarang tidak lagi

- Diterbit 22 Mac 2024 12:32 PM MYT

PENYANYI dan komposer, Amylea Azizan, 38, mengaku masih dalam fasa membiasakan diri menjadi isteri kepada seorang pegawai bomba Singapura, Mohammad Aqbar Mohamad, 41.

Menurut Amylea yang mendirikan rumah tangga tahun lalu, walaupun dirinya sedang meniti saat-saat bahagia, namun dia perlu mengubah cara hidupnya yang dahulu berbanding sekarang.

“Sebenarnya saya masih dalam fasa kadang-kadang macam tak percaya dah ada suami. Selalunya apa yang kita rasa, alami atau fikir, kita simpan sendiri. Sekarang tak boleh, suami kena tahu.

“Apa-apa pun, alhamdulillah saya sangat gembira dan bahagia dengan situasi sekarang. Kita ada seseorang yang betul-betul ambil tahu pasal kita setiap hari.

“Iyalah, selama ini kita ada kawan-kawan bersama kita tapi ia tidak sama dengan suami. Mungkin dahulu dengan kawan masa lepak sahaja tapi bila balik rumah tetap sendiri,” katanya.

Amylea juga mengaku sebelum ini dia gemar membuat keputusan dan bertindak sendiri. Namun kini, hidupnya lebih terjaga apabila suami sentiasa ada untuk bersama dalam apa jua keadaan.

“Biasalah apa-apa kena beritahu suami agar dia tidak risau. Sama juga apabila hendak membuat apa-apa keputusan. Saya kena biasakan diri merujuk suami. Walaupun saya agak ‘kuku besi’ sebelum ini sebab lebih suka buat keputusan sendiri tanpa bertanya sesiapa, sekarang tidak lagi sebab kita perlu bercerita kepada suami.

“Hari-hari kena buat ‘laporan’ sebab dia nak tahu sama ada saya dalam keadaan baik atau tidak. Sebenarnya banyak sangat perubahan selepas kahwin ini. Saya ingat berkahwin itu hanya tambah seorang saja dalam hidup kita, ternyata sangkaan saya salah,” jelasnya.

Seperti pasangan lain, Amylea dan suami juga tidak terlepas daripada soalan tentang anak. Bagi pelantun lagu Tak Pernah Hilang ini, segalanya diserahkan kepada ketentuan Allah.

“Sudah tentu, kami juga seperti pasangan lain mahukan cahaya mata. Siapa yang tak mahu anak. Ramai juga pasangan di luar sana yang kahwin awal 20-an, namun belum ada rezeki anak walaupun sudah mencecah 40-an.

“Pasal anak ini, kita memang tak tahu bila Allah nak bagi. Sekiranya saya ni yang terbaik untuk menjadi ibu, Allah akan bagi. Kalau saya bukan terbaik, mungkin saya dapat (anak) di akhirat nanti. Saya cuba untuk menjadi orang yang reda, sekiranya ada atau pun tidak,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas