Berita

Penyanyi veteran pukul abang ipar guna batang besi

- Diterbit 26 Mac 2024 3:00 AM MYT

SEORANG artis veteran yang ditahan selepas disyaki memukul abang iparnya di sebuah flat Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur, direman selama empat hari.

Menurut sumber, penyanyi era 80-an yang pernah menyertai sebuah program realiti itu mula direman semalam hingga Khamis.

Memetik laporan Astro Awani, penyanyi veteran tersebut disyaki memukul abang iparnya menggunakan batang besi sehingga menyebabkan kecederaan. Kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada salah faham antara mangsa, 41 dan suspek, 64.

Suspek kemudian bertindak memukul menggunakan besi panjang di bahagian kepala, belakang badan, mata kiri dan bahagian lain mangsa.

Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami pendarahan di bahagian kepala dan menerima dua jahitan, bengkak mata kiri, lebam di tangan kiri dan luka di tangan kanan.

Penahanan peserta sebuah program realiti hiburan popular itu berlaku selepas pihak polis menerima laporan daripada abang ipar mangsa.

Pada tahun 2010, artis veteran ini pernah terpalit kontroversi berhubung perkahwinan yang tidak direstui oleh ibu mentuanya susulan jarak usia antara dia dan isterinya agak jauh. – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas