Berita

Dua remaja lepak, minum arak ditahan

PDRM
2019.
- Diterbit 5 April 2020 5:08 PM MYT

LABUAN – Tindakan dua remaja melepak sambil minum minuman keras di kawasan perumahan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 2 mengundang padah apabila mereka ditahan polis di Taman Mutiara, Bebuloh, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, kejadian berlaku sekitar pukul  2.55 pagi ketika sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan menjalankan pemantauan di kawasan itu.

Beliau berkata, kedua-dua remaja lelaki tersebut sedang melepak sambil minum minuman keras.

“Hasil siasatan mendapati kedua-dua remaja lingkungan umur 20-an telah melepak di kawasan awam sambil minum minuman keras.

“Semua suspek gagal memberikan alasan yang munasabah ketika di soal oleh anggota polis,” katanya dalam satu kenyataan.

MUHAMMAD FARID

Menurut Muhammad Farid, kedua- dua suspek dibawa ke IPD Labuan untuk tindakan lanjut susulan melanggar arahan PKP fasa kedua di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020.

“Jika sabit kesalahan, kedua-dua suspek boleh didenda tidak lebih dari RM1,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

“Suspek juga akan disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan sebarang perbuatan yang dilakukan menyebabkan merebakan penyakit yang membahayakan kepada nyawa.

“Jika disabit kesalahan, boleh dikenakan penjara 6 bulan atau denda atau kedua- duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai diingatkan agar patuh arahan PKP fasa 2 ini yang telah berkuat kuasa sehingga 14 april ini dan tidak akan berkompromi kepada sesiapa yang ingkar terhadap arahan itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas