Berita

Annuar selami luahan hati gelandangan di pusat transit

ANNUAR (kanan) bertanyakan keadaan seorang wanita gelandangan yang ditempatkan di Pusat Komuniti Sentul Perdana hari ini. Gambar NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 5 April 2020 12:53 PM MYT

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa turun padang melawat pusat penempatan gelandangan sementara di Pusat Komuniti Sentul Perdana hari ini.

Pada lawatan itu, Annuar turut sempat beramah mesra dan bertanyakan keadaan gelandangan yang telah diselamatkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ekoran penularan wabak Covid-19.

Beliau telah diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti DBKL, Anwar Md. Zain berkenaan dengan operasi pusat penempatan tersebut.

Dalam ciapan di laman Twitternya, Annuar berkata, hatinya tidak kuat melihat keadaan begini (gelandangan), dan beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak yang membantu golongan itu.

Kata beliau, pihak kerajaan telah menyediakan makanan sebanyak enam kali sehari kepada gelandangan yang diselamatkan itu.

“Tetapi beberapa beberapa barangan keperluan seperti selimut, cadar, kain solat dan pakaian kurang sempurna.

“Kebersihan dan sanitasi dalam kalangan gelandangan juga perlu dipertingkatkan,” katanya.

Annuar memberitahu, beliau turut akan membantu gelandangan bagi menyelesaikan urusan mendapatkan semula kad pengenalan yang hilang dan pendaftaran untuk pelbagai bantuan yang layak dalam skim Rangsangan Ekonomi Prihatin seperti yang telah diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini. – WILAYAHKU

ANNUAR menyelami luahan gelandangan yang ditempatkan sementara di Pusat Komuniti Sentul Perdana.
KEADAAN gelandangan yang diselamatkan pihak DBKL dengan menempatkan mereka di pusat transit.
PENJARAKAN sosial diamalkan di pusat penempatan sementara gelandangan di ibu kota.
GELANDANGAN turut diminta memakai topeng muka sebagai langkah keselamatan bagi elakkan sebarang jangkitan.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas