Berita

Kerajaan batal kelulusan syarikat arak beroperasi ketika PKP

ANNUAR
- Diterbit 6 April 2020 5:50 AM MYT

PUTRAJAYA – Kerajaan telah membatalkan kelulusan yang diberikan kepada Heineken Malaysia Bhd. untuk meneruskan operasi semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, kelulusan yang diberikan kepada pengeluar minuman alkohol untuk beroperasi adalah tidak selari dengan dasar yang telah ditetapkan kerajaan.

“Sudah dibatalkan pagi ini, kerana tak selari dengan dasar yang ditetapkan kerajaan,” katanya dalam laman Twitter hari ini.

Terdahulu, Annuar membidas keputusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang memberi pengecualian kepada syarikat pengeluaran arak tersebut untuk beroperasi dalam tempoh PKP yang dakwanya bertentangan dengan dasar kerajaan.

“Ini jelas tidak selari dengan dasar yang diputuskan. Tindakan perlu diambil segera,” katanya.

Semalam, tular di laman Facebook berkenaan sepucuk surat daripada KPDNHEP yang memberi pengecualian kepada syarikat tersebut untuk beroperasi ketika PKP.

Syarikat itu kemudian mengesahkan ketulenan surat berkenaan melalui satu kenyataan dan menambah bahawa operasi terhad itu tidak melibatkan keseluruhan pekerja.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas