Berita

DPIM, WISE meterai perjanjian persefahaman terokai pasaran halal di Eropah

Dato' Seri Muhammad Khanafi Husin berjabat tangan dengan Pengerusi WISE
- Diterbit 24 Julai 2022 6:05 AM MYT

DEWAN Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) sentiasa komited dan menyokong usaha-usaha merancakkan aktiviti ekonomi bukan sahaja kepada ahlinya tetapi juga kepada para usahawan di negara ini termasuk dalam industri peruncitan dan francais.

Sehubungan dengan itu, sempena Pameran Runcit dan Francais Antarabangsa Malaysia 2022 (MIRF) yang berlangsung selama tiga hari di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) baru-baru ini, DPIM telah mengambil inisiatif mengadakan Majlis Memeterai Perjanjian Persefahaman (MOU) dengan World Integrated Supply Ecosystem Sdn Bhd (WISE).

PENGERUSI Biro Korporat DPIM, Datuk Seri Muhammad Khanafi Husin berjabat tangan dengan Pengerusi WISE, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya selepas majlis MOU yang diadakan sempena Pameran Runcit dan Francais Antarabangsa Malaysia 2022 di KLCC, baru-baru ini.

Pengerusi Biro Korporat DPIM, Datuk Seri Muhammad Khanafi Husin berkata, tujuan MOU diadakan untuk membuka peluang kepada usahawan tempatan menerokai pasaran eksport produk berstatus halal.

“DPIM mempunyai ahli yang terdiri dalam kalangan usahawan yang memiliki rekod perniagaan yang baik malah sebahagiannya telah dikenal pasti mempunyai produk bertaraf ready to export.

“WISE pula merupakan syarikat tempatan bertaraf global dengan mempunyai rangkaian niaga antarabangsa bagi pasaran di negara-negara Eropah terutama import dan eksport produk makanan halal.

“Kerjasama ini membuka peluang usahawan tempatan mengembangkan perniagaan ke seluruh pelusuk dunia untuk memenuhi pasaran produk halal melalui WISE dengan prosedur yang telus dan berterusan,” katanya ketika ditemui selepas majlis.

Hadir sama, Pengerusi WISE, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur HQC Global Brand Awards 2022 sempena MIRF, Datuk Khairul Shahril Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif WISE, Datuk Megat Radzman.

Hilmi Yahaya ketika ditemui pula berkata, usahawan di negara ini diharap merebut peluang keuntungan daripada nilai pasaran halal dunia yang dianggarkan sekitar AS$7 trilion.

“Kita bukakan jalan dan bantu usahawan tempatan untuk sama-sama berada dalam industri berkaitan yang kini dilihat semakin berkembang pesat. WISE menerima maklum balas positif mengenai produk halal dari Malaysia yang dieksport ke luar negara terutama produk berasaskan makanan dan minuman.

“Bagaimana pun cabaran ketika ini adalah untuk memastikan usahawan kita mengambil peluang yang sedia ada kerana kekangan modal.

“Justeru WISE mengambil inisiatif membeli terus daripada usahawan terbabit dan eksport. Bagi memenuhi tuntutan pasaran di sana, WISE juga menyasarkan rakan usahawan daripada negara Asia yang lain,” katanya.

Tambahnya antara negara yang terlibat adalah Thailand, Indonesia, Vietnam, Korea, Jepun, China dan Iran yang mempunyai sijil halal.

“Kita hanya mengeskport produk yang memiliki sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) begitu juga produk halal dari negara-negara terbabit.

“Setiap produk yang dieksport disertakan barcode yang boleh dikesan oleh pengguna di seluruh dunia berkaitan asal negara pengeskport.

“Buat masa sekarang terdapat lebih 2,000 logo halal di seluruh dunia dan semakin tidak boleh dikawal jadi kita mahu pengguna lebih yakin dengan produk yang dieksport dengan adanya barcode tersebut.

“Saya tegaskan di sini, import dan eksport produk halal toyyiban bukan semata-mata untuk meraih keuntungan tetapi bagi tujuan fardu kifayah supaya seramai mungkin di seluruh dunia memperolehinya terutama di negara-negara Eropah yang sukar mendapatkan makanan halal di sana,” ujarnya.

Sehingga kini WISE telah mengeskport lebih 100 produk halal dari Malaysia ke pasaran Eropah antaranya produk keluaran Marigold, Yeos, Malaya Pop, F& N dan Brahim. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas