Berita

DBKL tawar pengurangan caj pembangunan sehingga 50 peratus kepada pemaju

MENTERI Wilayah Persekutuan,Tan Sri TPr Annuar Musa.
- Diterbit 21 Disember 2020 7:00 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan pengurangan Caj Pembangunan sehingga 50 peratus kepada pemaju bagi merancakkan kembali sektor pembinaan tergendala ekoran kesan COVID-19.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata pemaju boleh mengemukakan permohonan bagi projek yang mula dilaksanakan dalam tempoh 1 Jun lepas hingga 31 Mei tahun depan yang lazimnya akan siap dalam tempoh tiga tahun.

Beliau berkata menerusi inisiatif itu pihaknya berharap dapat mengurangkan beban pemaju yang terkesan dengan pandemik dan membolehkan kerja pembinaan tergendala dimulakan secepat mungkin bagi merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi negara selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang ramai.

“Kementerian Wilayah Persekutuan juga bersetuju dengan usaha DBKL untuk mengurangkan masa pemprosesan permohonan kelulusan Perintah Pembangunan, Pelan Pembangunan dan Pelan Kejuruteraan kepada jangkamasa lebih singkat.

“Ini menjadikan perkhidmatan DBKL lebih efisien selain dapat mengurangkan kos pegangan kepada pemaju,” katanya pada sesi libat urus bersama pemaju di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata DBKL setakat ini telah meluluskan permohonan 36 projek pembangunan yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) bernilai RM35.9 bilion.

Katanya pihaknya juga menggalakkan pengambilan graduan muda bagi membantu mengurangkan kadar pengangguran selain menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat  (CSR).  – BERNAMA 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas