Berita

Muda lantik peguam selesai isu pendaftaran dengan RoS

- Diterbit 21 Disember 2020 6:41 AM MYT

IKATAN Demokratik Malaysia (Muda) melantik peguam yang terdiri daripada bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan bekas Presiden Majlis Peguam Datuk S. Ambiga bagi menyelesaikan isu pendaftaran dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Pengasas Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata borang pendaftaran Muda sebagai sebuah parti politik telah dihantar pada 17 Sept lepas, namun sehingga hari ini barisan penaja parti itu masih belum menerima apa-apa perkembangan mengenai status pendaftaran berkenaan.

Beliau bersama kira-kira 50 penyokong Muda hari ini hadir ke RoS di sini untuk menyerahkan surat peguam kepada badan itu bagi menuntut pendaftaran parti itu diluluskan dalam tempoh tujuh hari.

“Dalam masa tujuh hari, jika kelulusan tidak diberikan, kami akan bawa kes ini ke mahkamah. Kami sangat serius,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat berkenaan kepada wakil RoS. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas