Berita

DBKL rangkul empat anugerah utama di Festival Floria Diraja Putrajaya 2022

KAMARULZAMAN (tengah) menjulang trofi yang diterimanya mewakili DBKL dalam empat kategori termasuk Floria Garden Prime Award daripada Shahidan.
- Diterbit 10 September 2022 6:00 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merangkul empat anugerah emas sempena Floria Diraja Putrajaya 2022.

Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) DBKL, Datuk Sr Kamarulzaman Mat berkata anugerah yang dimenangi itu menunjukkan usaha DBKL dalam mengindahkan ibu kota melalui landskap diiktiraf jawatankuasa ini.

Alhamdulillah kita telah memenangi empat anugerah yang utama iaitu Anugerah Perdana Floria 2022. Banyak tempat yang kita kenal pasti sebagai tempat taman awam dan kita akan perindahkan lagi dengan landskap menarik dan dengan cara tersebut ia akan memberikan nilai tambah untuk Kuala Lumpur.

“Ia juga dapat mengekalkan idea-idea pembangunan landskap di sesetengah kawasan supaya hasrat untuk memperindahkan ibu kota dapat dilaksanakan dengan lebih berjaya sekali gus menarik perhatian pelancong tempatan dan antarabangsa,” katanya kepada Wilayahku pada Selasa.

SHAHIDAN (tengah) bersama pegawai dan kakitangan Jabatan Landskap DBKL bergambar dengan trofi dan sijil selepas Majlis Penutup Floria Diraja Putrajaya.

Menurut Kamarulzaman, melalui anugerah tersebut serta idea yang digarap dalam reka bentuk landskap yang ditonjolkan, pihaknya akan mempraktiskan di tempat yang dinyatakan demi kemakmuran Kuala Lumpur.

“Seperti diketahui, Kuala Lumpur merupakan bandar raya yang sentiasa berhadapan dengan perubahan. DBKL akan memastikan keindahan Kuala Lumpur sentiasa menjadi agenda utama selari dengan hasrat Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang mahu menjadikan ibu kota sebagai bandar raya untuk semua,” katanya.

Katanya, persaingan akan datang menjadi semakin sengit dan usaha berterusan akan dilakukan supaya DBKL sentiasa menjadi contoh dalam pembangunan landskap untuk ibu kota dan seluruh negara.

“Kita mesti terus unggul dan menjaga kemenangan ini kerana yakin agensi lain akan bersungguh-sungguh mencuba sedaya upaya untuk menaik taraf seni bina landskap di bawah kendalian mereka untuk memenangi anugerah yang sama,” katanya.

Jelas Kamarulzaman, anugerah yang telah dimenangi ini turut melibatkan penyertaan komuniti setempat yang bertepatan dengan Local Agenda 21 (LA21).

“Dalam setiap program pengindahan bandar, DBKL akan sentiasa melibatkan komuniti setempat bagi menanamkan semangat cintakan kawasan perumahan mereka dan menperindahkan kawasan tersebut.

“Insya-Allah kita akan bekerjasama dan pihak DBKL boleh memperuntukkan tempat. Apa yang kita mahukan adalah penyertaan oleh komuniti itu sendiri supaya ada sikap sense of belonging untuk menjadikan kawasan Projek Perumahan Rakyat dan Perumahan Awam lebih bersih, cantik dan ceria serta melahirkan generasi yang baik untuk Kuala Lumpur,” katanya.

Antara anugerah yang dirangkul adalah Floria Garden Prime Award 2022, Floria Garden Creative Award bagi kategori kategori Awesome Floria, Floria Garden Award Kategori Kerajaan dan Floria Garden Starlight Award.

Bagi Kategori Community Garden, Kebun Komuniti Kuala Lumpur telah dipilih memenangi sub kategori Laman Edugarden. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas